‘Malaysia Prihatin’ tema Hari Kebangsaan, Hari Malaysia 2020 – Saifuddin

‘Malaysia Prihatin’ tema Hari Kebangsaan, Hari Malaysia 2020 – Saifuddin

KUCHING, 10 Julai — ‘Malaysia Prihatin’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata tema itu dipilih bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia mengharungi cabaran dan dugaan COVID-19.

“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Julai (lepas) telah bersetuju untuk memilih logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 yang bertemakan, Malaysia Prihatin,” katanya pada sidang media di Auditorium Bangunan Pelita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata perkataan ‘Malaysia’ membawa pengertian bahawa seluruh rakyat negara ini turut bersama-sama dengan kerajaan memerangi COVID-19 sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan.

“Keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat ditunjukkan melalui inisiatif ‘Prihatin’ yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, kerajaan melalui KKMM dan agensinya telah merancang untuk melaksanakan empat aktiviti utama.

“Sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara bermula pada 9 Julai hingga 16 Sept 2020 (telah diadakan semalam) di bangunan Perdana Putra, Putrajaya; pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada 28 Julai 2020 di Putrajaya.

“Selain itu, sambutan Hari Kebangsaan 2020 pada 31 Ogos 2020 di Kuala Lumpur dan sambutan Hari Malaysia 2020 pada 16 Sept 2020 di Sibu, Sarawak,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan Hari Kebangsaan 2020, Saifuddin berkata tiada perarakan seperti kelaziman sambutan sebelum ini namun Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menayangkan sebuah rancangan yang akan disiarkan pada pagi 31 Ogos itu supaya seluruh rakyat Malaysia boleh menontonnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )