Malaysia Rekod 691 Kes Baharu, Tertinggi Sejak COVID-19 Melanda Negara

Malaysia Rekod 691 Kes Baharu, Tertinggi Sejak COVID-19 Melanda Negara

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Kes baharu COVID-19 di Malaysia terus meningkat dan hari ini mencatatkan 691 kes, iaitu angka tertinggi sejak wabak itu melanda negara dengan merekodkan empat kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata selaras dengan peningkatan mendadak itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan juga kini meningkat kepada 2,936.

Perkembangan terkini itu menyaksikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 13,504 dalam tempoh tiga hari, melepasi angka 12,000 dengan 12,088 kes pada Sabtu (3 Okt) lepas.

Lebih separuh daripada kes hari ini, iaitu 394 kes, melibatkan Kluster Tembok di Kedah, katanya dalam sidang media menerusi laman Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Buat pertama kali, Dr Noor Hisham mengadakan sidang media secara maya di rumahnya hari ini. Beliau yang sedang menjalani perintah kuarantin di rumah, turut memakai pelitup muka bagi melindungi ahli keluarganya.

Mengulas lanjut Dr Noor Hisham berkata, kesemua kes positif Kluster Tembok adalah kluster terasing di dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran, justeru risiko penularan jangkitan amat rendah dan terkawal.

Mengenai jumlah 4 kematian hari ini yang termasuk seorang bayi berusia setahun beliau berkata, ini menjadikan keseluruhan kes maut meningkat kepada 141 kes.

Pada masa yang sama 87 kes pulih dan 31 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lapan memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, sebanyak 688 kes penularan tempatan hari ini melibatkan 661 warganegara dan 27 bukan warganegara, manakala hanya tiga kes import membabitkan seorang warganegara yang pulang dari India dan dua warga asing yang masing-masing pulang dari Mesir dan Filipina.

Bagi kes penularan tempatan pula, ia melibatkan 219 kes di Sabah, 397 kes di Kedah (termasuk Kluster Tembok), Selangor (38 kes), Perak (lapan), Negeri Sembilan (tujuh), Johor (enam) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (empat) sementara masing-masing tiga kes di Sarawak dan Pulau Pinang serta satu kes di Terengganu, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

– BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)