Malaysia sambut baik tiga fokus perbincangan di mesyuarat FMCBG

Malaysia sambut baik tiga fokus perbincangan di mesyuarat FMCBG

KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik tiga fokus utama diusulkan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Menteri-Menteri Kewangan Ke-105 (FMCBG) di Washington, Amerika Syarikat sempena Mesyuarat Musim Bunga Bank Dunia (IMF).

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, fokus pertama memastikan pinjaman oleh kerajaan di serata dunia dapat memainkan peranan untuk pembangunan dan kestabilan makroekonomi.

Selain itu, mesyuarat turut menumpukan kepada beberapa perkara mengenai kemas kini operasi tindak balas krisis COVID-19 serta aspek pendigitalan dan pembangunan.

Tengku Zafrul yang mewakili Malaysia dan beberapa negara lain seperti Thailand, Indonesia dan Singapura juga berkesempatan menyuarakan pendapat mengenai beberapa cabaran terkini yang menghalang pemulihan ekonomi global tahun ini.

‘’Saya amat berbesar hati kerana untuk mesyuarat kali ini, saya selaku wakil dari Malaysia diberi amanah mewakili negara-negara seperti Brunei, Fiji, Indonesia, Laos, Myanmar, Nepal, Singapura, Thailand, Tonga dan Vietnam.

‘’Semasa perbincangan, saya telah menyuarakan pendapat mengenai beberapa cabaran terkini yang telah menghalang pemulihan ekonomi global tahun ini.

‘’Juga menyentuh gangguan rantaian bekalan dan inflasi yang meningkat, serta ketidakpastian yang berterusan di sebalik varian COVID-19 baharu, mungkin menghalang pemulihan ekonomi yang dijangkakan akan meninggalkan kesan yang lebih mendalam,” katanya menerusi satu ciapan di laman Facebook pada Sabtu.

Antara lain, fokus turut diberikan kepada bagaimana dalam jangka masa pendek, tindakan pelbagai hala yang tuntas dan komprehensif diperlukan untuk menangani krisis hutang yang semakin meruncing.

Pada masa sama, beliau juga menekankan bahawa di masa hadapan, pendigitalan akan menjadi pendorong utama kepada agenda untuk pembangunan hijau, berdaya tahan dan inklusif.

-Astro Awani

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)