
Malaysia sedia beraksi dalam Liga Cabaran Piala Dunia Kriket ICC
KUALA LUMPUR,. Skuad kriket negara akan memulakan kempen untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2023 dengan mengharungi 15 perlawanan dalam edisi sulong Liga Cabaran Piala Dunia Kriket Lelaki ICC, yang bermula esok.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A bersama Kanada, Denmark, Singapura, Qatar dan Vanuatu perlu berada di tempat teratas kumpulan itu untuk mara ke kejohanan play-off dalam 2022, yang merupakan sebahagian daripada laluan kelayakan ke Piala Dunia.
Walaupun ia pertandingan yang sengit, Kapten Malaysia Ahmad Faiz Mohamad Noor percaya pasukan negara terdiri daripada gabungan pemain muda dan berpengalaman akan memberikan tentangan hebat kepada pasukan lawan dan kelebihan sebagai tuan rumah, semestinya memberikan kesan buat pasukan.
Beliau berkata semua pemain bersedia untuk bertanding dan memberikan persembahan terbaik mereka selepas melalui latihan intensif selama hampir dua bulan.
“Kita tiada pilihan lain selain muncul juara jika mahu terus mara ke peringkat seterusnya. Ini salah satu kejohanan penting untuk Malaysia jadi kami telah habiskan hampir setahun membuat persiapan dan sepanjang hampir dua bulan lepas kita juga membuat persediaan intensif untuk hadapi kejohanan ini.
Peluang untuk Malaysia berjaya itu sentiasa ada…sebagai tuan rumah, kita telah bersedia dan percaya kita boleh gunakan kelebihan tersebut untuk raih keputusan positif. Kita juga mempunyai dua hingga tiga pemain baharu yang boleh memberi impak kepada pasukan,” katanya pada sidang media kejohanan itu di sini, hari ini.
Pada masa sama, Ahmad Faiz berkata Kanada merupakan pasukan pencabar utama yang perlu diberi perhatian, namun menegaskan pasukan lain turut memberi saingan dan mempunyai potensi menggugat misi skuad negara.
“Kita pernah kalahkan semua pasukan ini tetapi kita perlu lebih berhati-hati dengan Kanada kerana kita jarang bermain menentang mereka. Dari segi ranking mereka (Kanada) jauh lebih bagus berbanding kita.
Tetapi tiada yang mustahil. Kita sasar untuk mencapai puncak prestasi pada kejohanan ini jadi pasukan akan berikan yang terbaik,” kata beliau.
Malaysia akan bertemu Denmark esok diikuti dengan perlawanan menentang Kanada pada 19 Sept ini, Qatar (20 Sept), Singapura (23 Sept) dan Vanuatu (25 Sept). Perlawanan akan berlangsung di Kinrara Oval dan Selangor Turf Club.
— BERNAMA