
Malaysia Siap Sedia Tampilkan Daya Tarikan Unik Sempena TMM2026
LANGKAWI, 5 Mei 2025 – Tourism Malaysia mengambil langkah proaktif ke arah memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) melalui sesi libat urus bersama industri di Langkawi hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Shahrin Mokhtar, berkata tema TMM2026 iaitu ‘Malaysia: Destinasi Lestari dan Kaya Budaya’ membawa mesej penting kepada dunia bahawa Malaysia komited untuk menyeimbangkan aspek pembangunan dan pemuliharaan.
“Langkawi, dengan pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark dan kecantikan semula jadinya, adalah lokasi tepat untuk merangka pelan tindakan menuju TMM2026,” katanya.
Sesi tersebut turut dirasmikan oleh Pengarah Perancang Ekonomi Negeri Kedah dan disertai pelbagai pemegang taruh utama dalam sektor pelancongan.