Malaysia terima 1.059 juta dos vaksin AstraZeneca dan CoronaVac

Malaysia terima 1.059 juta dos vaksin AstraZeneca dan CoronaVac

PUTRAJAYA,. Malaysia menerima dua lagi penghantaran vaksin COVID-19 hari ini dengan ketibaan vaksin AstraZeneca dan CoronaVac berjumlah 1,059,200 dos.
Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, 559,200 dos merupakan vaksin AstraZeneca manakala 500,000 dos lagi vaksin CoronaVac.

”Ketibaan bekalan (vaksin) ini merupakan tambahan kepada stok sedia ada,” kata CITF.

Ia menjadikan jumlah terkini vaksin AstraZeneca yang diterima Malaysia daripada fasiliti COVAX ialah 828,000 dos. Stok yang diperoleh sebelum ini ialah sebanyak 268,800 dos.

Menurut CITF, satu lagi penghantaran bekalan vaksin AstraZeneca daripada COVAX dengan jumlah yang sama iaitu 559,200 dos ialah pada hujung bulan ini.

“Dos AstraZeneca yang diterima dijamin berkualiti, selamat dan berkesan melalui pematuhan ke atas keperluan ‘Lot Release’,” katanya.

Kenyataan CITF juga menyebut vaksin yang diterima itu akan dihantar ke Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) di Lembah Kelang serta tiga negeri lain yang baru menyertai Inisiatif Pelawaan Pengambilan Vaksin AstraZeneca iaitu Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

CITF turut memaklumkan bahawa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan lancar mengikut perancangan malah kadar vaksinasi penduduk negara ini terus meningkat berikutan pertambahan bekalan vaksin yang dijangka tiba dari semasa ke semasa.

“Sehingga kini, kadar vaksinasi mencatatkan peningkatan konsisten dengan 60,261 orang telah menerima suntikan vaksinasi pada 17 Mei lepas diikuti 76,551 orang (18 Mei) dan 83,648 orang (19 Mei),” menurut CITF.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)