Malaysia terus kukuh untuk tarik pelaburan berkualiti – Tengku Zafrul

Malaysia terus kukuh untuk tarik pelaburan berkualiti – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berada di landasan yang kukuh untuk menarik pelaburan berkualiti, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dalam temu bual dengan CNBC pagi ini, beliau berkata walaupun cabaran masih ada disebabkan ketidaktentuan ekonomi global, langkah China untuk membuka semula sempadannya minggu depan memberi petanda baik untuk negara memandangkan China adalah rakan dagang terbesar Malaysia.

“Langkah itu akan membantu eksport dan ekonomi kami. Di dalam negara, usaha yang memfokuskan pada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam sektor-sektor utama, meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan serta menggerak naik rantaian nilai dalam sektor yang kami amat kukuh juga akan membantu mengurangkan kesan tekanan ekonomi global.

“Malaysia mengunjurkan pertumbuhan empat peratus pada 2023. Angka (pertumbuhan) kami kelihatan baik, inflasi pada empat peratus dan kadar pengangguran pada 3.6 peratus,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sekitar 8.0-9.0 peratus pada 2022.

Bagi sembilan bulan pertama 2022, ekonomi negara berkembang sebanyak 9.3 peratus, katanya sambil menambah negara mencatat pertumbuhan KDNK sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022 di tengah-tengah permintaan domestik dan luar yang kukuh serta pasaran buruh yang bertambah baik. .

Dalam temu bual itu, Tengku Zafrul turut menyatakan beberapa kebimbangan yang mungkin boleh menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi global, antaranya dasar monetari dan fiskal yang lebih ketat, ketegangan global seperti perang Ukraine-Rusia yang mengganggu rantaian bekalan serta kapasiti pengeksport dalam memenuhi tuntutan pasaran ESG.

Ringgit akan terus mengukuh

Ketika ditanya sama ada apa yang dialami oleh ringgit telah berakhir yang mana mata wang tempatan telah menyusut nilai sebanyak enam peratus pada 2022, Tengku Zafrul berkata beliau optimis ringgit akan kembali dan terus mengukuh pada 2023, didorong oleh unjuran pertumbuhan Malaysia bagi tahun itu.
“Saya berpendapat perkara utama di sini ialah apa yang akan berlaku kepada dolar AS. Dari sudut pandangan saya, saya rasa dolar (AS) telah mencapai tahap yang selesa,” tambahnya.

sumber – BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)