Malaysia teruskan tuntutan di kawasan perairan Laut China Selatan – Saifuddin
PUTRAJAYA,. Malaysia akan mempertahankan tuntutannya di kawasan perairan Laut China Selatan yang menjadi pertikaian meskipun China membantah tindakan Malaysia menyerahkan tuntutan itu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bulan lepas, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata pihaknya telah menjangkakan tindakan Beijing dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang “normal.”
“Tindakan China mengemukakan bantahan adalah sesuatu yang telah kami jangkakan, malah sebelum ini lagi.
“Ini adalah sesuatu yang normal. Saya tidak mengatakan bahawa kami okey dengannya… tetapi ini adalah tuntutan kita dan kita akan mempertahankannya,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Putra di sini hari ini.
Ditanya mengenai tindakan kementerian itu seterusnya, beliau berkata: “Ia bergantung, tetapi yang jarang berlaku ialah (merujuk perkara ini kepada) timbang tara.”
Saifuddin juga berkata Malaysia tidak gentar dengan tindakan balas dari China.
“Jika kita bimbangkan perkara itu, kita tidak akan mengemukakan tuntutan,” katanya.
Ketika menyenaraikan pencapaian Wisma Putra pada 2019, beliau berkata Malaysia telah menyerahkan tuntutannya ke atas baki kawasan pelantar benua di bahagian utara Dangerous Ground di Laut China Selatan (Tuntutan Kawasan Batas-Batas Pelantar Benua Fasa II) kepada Setiausaha Agung PBB pada 12 Dis 2019.
Akhbar South China Morning Post melaporkan bulan lepas bahawa China membantah tindakan Malaysia memfailkan tuntutan kepada PBB dan menggesa agar Suruhanjaya PBB mengenai Batas-Batas Pelantar Benua tidak memberikan pertimbangan terhadap tuntutan itu.
Dalam laporan itu, Beijing turut menuduh Malaysia mencabuli kedaulatannya susulan tindakan Malaysia mengemukakan tuntutan tersebut.
— BERNAMA