Malaysia tingkat eksport minyak sawit ke Arab Saudi

Malaysia tingkat eksport minyak sawit ke Arab Saudi

BENTONG,. Malaysia akan meningkatkan eksport minyak sawit ke Arab Saudi kepada 500,000 tan yang dianggarkan bernilai RM1 billion, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, peningkatan daripada 300,000 tan ketika ini adalah susulan lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi baru-baru ini yang ternyata memberi manfaat kepada industri sawit.

“Ini merupakan antara kejayaan besar hasil lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi selain permintaan tinggi bagi minyak sawit sepanjang tempoh pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media selepas meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan Kempen Pendaftaran Program Imunisasi Kebangsaan Sektor Peladangan di sini, Jumaat lepas.

Perdana Menteri telah melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 6 hingga 11 Mac lepas.

Mengulas selanjutnya, Mohd Khairuddin berkata, bagi memperkasakan lagi pasaran minyak sawit ke Afrika dan Timur Tengah, pihaknya telah bersetuju untuk membuka sebuah pejabat serantau di Jeddah, Arab Saudi dalam masa terdekat.

Beliau berkata, langkah itu memberi peluang bagi memperkukuh kedudukan komoditi di pasaran Afrika dan Timur Tengah.

“Kita melihat Jeddah sebagai hab yang paling baik. Oleh itu, dengan penubuhan pejabat tersebut, saya berharap hasil sawit kita boleh dipasarkan dengan lebih meluas di peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kementerian itu juga sedang berunding dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia bagi mendapatkan tenaga pekerja asing susulan keperluan mendesak di sektor perladangan.

Menurutnya, pada masa ini terdapat lebih 250,000 pekerja asing terlibat dalam sektor tersebut dengan sejumlah daripada mereka telah pulang ke negara masing-masing selain permit pekerja yang tamat tempoh.

Beliau berkata, kementerian itu akan mengemukakan langkah-langkah yang akan dilaksanakan di sektor perladangan terutama berkaitan SOP sebagai jaminan untuk mendapatkan kira-kira 32,000 lagi pekerja asing bagi usaha penuaian di sektor perladangan.

“Sekiranya kita boleh dapatkan 32,000 bagi usaha penuaian ini, (ini bermakna) kita akan menambah RM5 bilion lagi bagi pendapatan berkaitan sawit yang disasarkan sebanyak RM75 billion pada tahun ini.

“Pada masa sama, kita amat berharap warga tempatan untuk turut menceburi bidang perladangan yang menyediakan banyak kemudahan seperti tempat tinggal percuma,” katanya.

Terdahulu, Mohd Khairuddin meluangkan masa meninjau tempat tinggal para pekerja serta kilang sawit FGV Holdings Berhad di Mempaga di sini.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)