Malaysian Plastics akan buat batang penguji untuk ujian massa COVID-19

Malaysian Plastics akan buat batang penguji untuk ujian massa COVID-19

KUALA LUMPUR,. Batang penguji khas yang dibuat di Malaysia bakal melalui ujian klinikal dan jika diluluskan, akan membuka jalan bagi ujian massa COVID-19, kata Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA).

“Satu pasukan kesihatan awam dan pakar perubatan dari seluruh Malaysia telah bekerjasama dengan MPMA dan Persatuan Petrokimia Malaysia (MPA) bagi menghasilkan batang pencucuk ‘nasopharyngeal’ dan ‘oropharyngeal’ yang khusus termasuk menyumbangkan 1.2 juta batang penguji untuk ujian COVID-19,” kata MPMA dalam satu kenyataan hari ini.

Professor Fakulti Perubatan Universiti Malaya Dr Tan Maw Pin berkata: “Ujian pra-klinikal menunjukkan bahawa batang penguji tempatan menghasilkan prestasi terbaik.”

Beliau berkata Malaysia mempunyai industri plastik yang berjaya yang boleh mengeluarkan gentian poliester dan aci plastik bagi membentuk batang penguji itu.

“Kami sedang berusaha untuk mempercepatkan proses mendapatkan pembiayaan dan kelulusan yang diperlukan bagi ujian klinikal termasuk kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) supaya batang penguji itu boleh dikeluarkan dan diedarkan secepat mungkin,” katanya.

Batang penguji yang dihasilkan akan digunakan untuk ujian diagnostik ke atas selesema dan penyakit virus lain pada masa akan datang serta akan terus berguna walaupun selepas pandemik COVID-19.

“Pembelian sehingga mencecah jutaan batang penguji ini dari luar negara mungkin tidak boleh dilaksanakan pada masa sekarang,” katanya.

Tan merupakan sebahagian daripada pasukan pakar yang ditugaskan untuk mengenal pasti dan menghubungi kilang tempatan yang bersetuju bagi menyusun semula barisan pengeluaran mereka untuk membuat pelbagai komponen batang penguji itu.

Pasukan ini dipilih dari kakitangan Hospital Kuala Lumpur, Hospital Pulau Pinang, Perdana Universiti-Royal College of Surgeons Ireland, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Fakulti Perubatan Universiti Malaya.

Menurut Presiden MPMA Datuk Lim Kok Boon, negara tidak mempunyai fasiliti untuk mengeluarkan batang penguji itu, yang dijangka akan mengalami penyusutan bekalan di seluruh dunia tidak lama lagi.

“Malaysia perlu berdikari dalam menghasilkan batang penguji yang khusus ini berikutan permintaan yang sedang melonjak di seluruh dunia sekarang,” katanya.

Amerika Syarikat, yang merupakan pembekal utama Malaysia, telah mengharamkan eksport barangan perubatan termasuk batang penguji ini.

Pembekal alternatif ada di Itali tetapi mereka sendiri mengalami kesulitan bagi memenuhi permintaan.

China juga membuat batang penguji ini tetapi gagal menangani penggunaan dalam negara sendiri sehingga terpaksa mengimport dari luar.

Inisiatif tersebut merupakan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang telah membenarkan pengilang produk plastik menyambung operasi mereka di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

MPMA, yang ditubuhkan pada 1967, merupakan suara rasmi industri plastik Malaysia, mewakili anggota dan industri dalam interaksi dengan kerajaan, menerajui pertumbuhan industri plastik dan menyediakan platform untuk membantu anggota menjadi lebih berdaya saing di peringkat global.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )