MAM sedia anjur perlumbaan permotoran

MAM sedia anjur perlumbaan permotoran

KUALA LUMPUR,. Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) bersiap sedia untuk membuka semula sektor sukan permotoran secara berperingkat, seperti digariskan dalam prosedur operasi standard (SOP) yang dihantar kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menurut kenyataan media MAM hari ini, antara SOP yang digariskan termasuk menganjurkan perlumbaan secara tertutup tanpa penonton dan menghadkan bilangan penyertaan.

Presiden MAM Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata badan induk sukan permotoran negara itu yakin KBS menyokong penuh usul untuk membenarkan penganjuran pertandingan sukan permotoran sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibubarkan.

“Kami menyambut baik cadangan kerajaan membenarkan aktiviti sukan permotoran bukan pertandingan diadakan semasa PKPP. Seperti sukan lain, kami perlu menyediakan SOP dengan teliti khusus untuk sukan permotoran, dalam tempoh percubaan, ubah suai jika perlu sebelum litar kembali dibuka untuk aktiviti trek dan perlumbaan.

“Kelulusan KBS, bergantung kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), kami berharap selewat-lewatnya pada September akan mendapat jadual penuh perlumbaan,” katanya.

Komuniti sukan permotoran teruja untuk kembali beraksi tetapi memahami dan menghargai sokongan kerajaan dalam membendung penularan semula wabak COVID-19, katanya selepas pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Mokhzani turut menekankan sebagai sukan tanpa sentuhan, perlumbaan sukan permotoran diadakan di tempat terbuka yang mana penganjur dapat mengawal suasana pertandingan dengan baik.

Katanya, litar akan mengenakan sekatan ketat bagi memastikan setiap langkah yang diambil itu bebas daripada COVID-19, sementara komuniti sukan permotoran diminta bekerjasama dengan mematuhi SOP ditetapkan.

“Kami bertuah mendapat sokongan penuh daripada kementerian. Kami akan membentangan video gambaran pelaksanaan perlumbaan mengikut SOP ditetapkan kepada kementerian. Pelaksanaan SOP yang praktikal akan memastikan penggunaan trek yang baik di samping amalan kesihatan seperti yang disasarkan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )