Mampukah syarikat farmaseutikal tempatan harungi badai COVID-19?
Oleh Niam Seet Wei
KUALA LUMPUR, 26 Mac — Ketika pandemik COVID-19 terus mengganas, banyak industri di seluruh dunia terjejas teruk akibat daripada kelembapan berterusan ekonomi dan industri farmaseutikal tempatan turut terkesan daripada penularan wabak itu.
Pengarah Urusan Tree Med Sdn Bhd Khairul Anuar Danial berkata kapasiti pemusnahan virus itu tidak pernah berlaku sebelum ini, sambil menambah syarikat itu boleh berdepan dengan kerugian dalam tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2020.
“Ini adalah tahun yang sangat sukar kerana kami merupakan pengimport produk farmaseutikal, jadi ada kemungkinan yang kami tidak akan mencapai keuntungan tahun ini berikutan kelemahan kadar pertukaran asing,” katanya kepada Bernama.
Tree Med adalah pengimport barang farmaseutikal dengan produk blood bank merupakan perniagaan utamanya. Pada paras pembukaan hari ini, ringgit turun 295 mata asas atau 7.22 peratus berbanding dolar AS kepada 4.3800/3950 daripada 4.0850/0900 pada 2 Jan 2, 2020.
KELEMAHAN RINGGIT, KEKANGAN ALIRAN TUNAI
Menyuarakan pandangan yang sama seperti Khairul Anuar, Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Bhd Leonard Ariff Abdul Shatar berkata impak kadar pertukaran ke atas import bahan mentah syarikat itu adalah suatu yang perlu dibimbangi.
“Memandangkan kira-kira 50 peratus hingga 60 peratus daripada kos pembuatan kami adalah dalam nilai dolar AS, pergerakannya akan memberi impak kepada pengeluaran, kos operasi dan seterusnya margin,” katanya.
Mujurlah, katanya, perniagaan eksport syarikat itu sedikit sebanyak dapat mengimbangi impak pertukaran asing, sambil menambah syarikat tersebut telah berkembang ke negara-negara ASEAN, Ghana, Afrika Selatan, Oman dan Qatar.
Bagaimanapun, Leonard Ariff berkata aliran tunai juga muncul sebagai satu daripada risiko utama yang dihadapi syarikat itu, sama seperti banyak lagi syarikat lain.
“Kita mungkin dapat mengharunginya gangguan jangka pendek, tetapi sekiranya sekatan ini (Perintah Kawalan Pergerakan) berlarutan tiga hingga empat bulan atau lebih buruk lagi jika berlaku kawalan keluar dan masuk sepenuhnya, ia akan menjejaskan keupayaan kami untuk menyediakan produk kami kepada pelanggan.
“Justeru, kutipan belum terima dan keupayaan tanpa gangguan untuk membekalkan kepada pelanggan kami adalah penting,”katanya.
RANGKAIAN BEKALAN TERJEJAS?
Mengulas kebimbangan mengenai kemungkinan rangkaian bekalannya terjejas, Leonard Ariff berkata syarikat itu setakat ini tidak berdepan masalah sedemikian.
“Bagaimana pun, keadaan boleh berubah secara pantas bergantung kepada banyak faktor seperti lanjutan kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh negara-negara pembekal bahan mentah serta bahan bungkusan untuk syarikat ini,” katanya.
Beliau berkata, ini termasuk bahan mentah yang diimport dari China dan India yang melaksanakan kawalan pergerakan terbabit sejak penularan pandemik COVID-19.
Berikutan itu, beliau percaya industri farmaseutikal itu secara menyeluruh akan berdepan gangguan rangkaian bekalan.
“Mujurlah China dilaporkan telah beralih daripada kemuncak kitaran semasa COVID-19. Kami amat berharap berita itu dapat mengurangkan gangguan rangkaian bekalan tersebut,” katanya.
Leonard Ariff berkata syarikat itu akan meneruskan usaha membekalkan keperluan perubatan mengikut kontrak sedia ada kepada Kementerian Kesihatan.
“Adalah penting untuk sentiasa beringat iaitu walaupun di tengah-tengah keadaan pandemik, masih ada ramai pesakit lain yang menghidap masalah kronik dan memerlukan rawatan secara berterusan,” katanya.
Sementara itu, Khairul Anuar pula menjangkakan kemungkinan rangkaian bekalan akan terjejas di masa depan berikutan langkah banyak negara melaksanakan kawalan pergerakan untuk membendung penularan COVID-19.
“Sebahagian besar produk-produk kami dibawa dari Amerika Syarikat, Eropah, Taiwan, China dan Australia.
“Oleh itu, terdapat kemungkinan rangkaian bekalan itu terjejas akibat masalah pengangkutan yang berpunca daripada sekatan pergerakan tersebut,” katanya.
Pada masa ini, Tree Med membekalkan produk farmaseutikalnya kepada kira-kira 1,000 farmasi di serata Malaysia.
IMPLIKASI COVID-19 KE ATAS PERNIAGAAN
Khairul Anuar berkata dengan produk bank darah menjadi penawaran perniagaan terasnya, segmen bank darah Three Med menyumbang 60 peratus daripada jualannya.
Oleh itu, beliau menyatakan kebimbangan bahawa bekalan darah untuk Pusat Darah Negara akan terjejas berikutan jumlah penderma darah yang berkurangan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang berkuat kuasa 18 Mac-14 April.
“Kami membekalkan peralatan dan bahan yang diperlukan untuk ujian darah. Setiap tahun, kira-kira 800,000 ujian darah akan dikumpulkan. “Dengan penderma darah yang berkurangan berikutan PKP, ini akan menyebabkan penurunan dalam perniagaan bank darah kami yang akan menjejaskan pendapatan kami,” katanya.
Secara keseluruhannya, beliau menjangka jumlah jualan syarikat akan merosot sebanyak 20 peratus pada tahun ini, bagaimanapun impak itu akan dapat dikurangkan dengan jualan cecair pembasmi kuman tangan.
Bagi Duopharma, Leonard Ariff berkata bagi tahun kewangan 2020 berakhir 31 Dis, 2020, syarikat menjangka akan berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk turun naik ringgit, tekanan ke atas harga bahan mentah, menarik tenaga kerja yang sesuai dan kemungkinan kemerosotan disebabkan perang perdagangan AS-China yang berterusan.
“Walaupun kami telah menerima impak daripada COVID-19, kami terus optimis bahawa sebarang cabaran rantaian bekalan akan dapat diatasi dengan cepat,” katanya.
COVID-19 VS SARS, H1N1
Khairul Anuar berkata terdapat perbezaan yang ketara berkaitan kesan COVID-19 terhadap perniagaan berbanding Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003 dan H1N1 pada 2009.
“Tiada sekatan pergerakan semasa wabak SARS dan H1N1, jadi kita masih membuat keuntungan sebelum ini.
“Sekarang orang ramai tidak boleh keluar dan kilang-kilang tidak boleh beroperasi, keadaannya sangat berbeza dan kita tidak dapat membuat perbandingan,” katanya.
Berpendapat sama, Leornard Ariff berkata syarikat tempatan kurang mengalami gangguan ketika wabak SARS dan H1N1.
“Apa yang berlaku kali ini ialah virus itu merebak dengan pantas, mengakibatkan penutupan atau pengecilan operasi banyak institusi dan syarikat.
“Perbezaan utama lain ialah wabak sebelumnya berlaku di satu kawasan setempat ke kawasan serantau berbanding dengan pandemik kali ini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya kerana terdapat tanda-tanda pemulihan COVID-19 di China, Duopharma menjangkakan prestasinya akan kembali ke landasan tahun ini.
Pada tahun kewangan 2019, syarikat farmaseutikal terkemuka negara itu menyaksikan keuntungan bersihnya meningkat 16 peratus tahun ke tahun kepada RM55.27 juta daripada RM47.64 juta sebelumnya, disokong oleh perolehan yang lebih tinggi sebanyak RM576.46 juta daripada RM498.72 juta dalam tahun kewangan berakhir 2018.
CABARAN MENDAPATKAN TOPENG MUKA
Khairul Anuar dan Leonard Ariff bersetuju bahawa penyumberan topeng muka, sebagai alat perlindungan peribadi yang paling dicari semasa pandemik COVID-19 menjadi satu cabaran yang utama.
Khairul sendiri gagal mendapatkan pembekal topeng muka selepas China, India dan Taiwan telah menghentikan eksport produk tersebut sejak Januari lepas.
“Apabila China melarang eksport topeng muka pada awal tahun, mereka bukan sahaja melarang eksport produk siap tetapi bahan mentah untuk membuatnya, ini telah menjejaskan industri pembuatan tempatan,” katanya.
Bagi menyelesaikan masalah itu, Khairul Anuar mencadangkan kepada kerajaan agar industri farmaseutikal dijadikan sebagai pasaran terbuka.
“Saya rasa ini merupakan satu kejutan kepada kerajaan untuk menyedari bahawa kita tidak boleh terus lagi selesa dengan apa yang kita buat sebelum ini,” katanya.
Daripada bergantung semata-mata kepada produk yang dibekalkan oleh Pharmaniaga, sudah sampai masanya untuk kerajaan membangunkan pengeluar tempatan dan memperkenalkan beberapa dasar bagi memastikan kelangsungan perniagaan pengeluaran domestik.
Beliau ketika mengulas mengenai harga topeng muka, berpendapat bahawa kerajaan perlu terlebih dahulu memastikan ketersediaan produk dalam pasaran.
“Bagaimana anda boleh menetapkan harga kalau produk tidak tersedia?” katanya, sambil menambah bahawa alat pelindung itu sepatutnya diedarkan secara percuma kepada orang ramai dalam masa kritikal ini.
Sementara itu, Leonard Ariff juga berkata Duopharma turut mengalami kelewatan dalam menerima beberapa perkhidmatan bukan penting daripada vendor dan pembekal, seperti bahan percetakan.
— BERNAMA