Man City, Leicester mara, Spurs tersingkir
LONDON,. Manchester City memenangi perlawanan piala domestik ke-20 berturut-turut untuk mara ke suku akhir Piala FA susulan kemenangan 1-0 ke atas Sheffield Wednesday, manakala Tottenham tersingkir di tangan Norwich menerusi penentuan penalti.
Sergio Aguero menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk juara bertahan itu pada minit ke-53 selepas penjaga gol Wednesday Joe Wildsmith gagal menepis rembatan rendah penyerang Argentina itu.
Riyad Mahrez dan Gabriel Jesus sebelum itu terlepas peluang keemasan membuka jaringan di babak pertama, manakala Nicola Otamendi dan Benjamin Mendy menyaksikan percubaan mereka terkena palang.
Kemenangan itu meletakkan City semakin hampir untuk kejuaraan treble musim ini selepas memenangi Piala Liga ketiga berturut-turut dan menewaskan Real Madrid 2-1 pada pertemuan pertama kelompok 16 Liga Juara-Juara.
“Dia pengurus yang baik dan gila,” kata Aguero berkenaan Guardiola yang sentiasa menuntut kemenangan.
City akan bertandang ke Newcastle untuk suku akhir Piala FA.
Norwich akan melayan kunjungan Derby atau Manchester United untuk suku akhir pertama mereka sejak tahun 1992 selepas menewaskan Spurs menerusi sepakan penalti.
Jan Vertonghen meletakkan Tottenham di depan pada minit ke-13 dan keputusan pengendalinya Jose Mourinho menurunkan penjaga gol 36 tahun Michel Vorm buat julung kalinya musim ini membawa padah apabila dia gagal menangkap kemas percubaan jarak jauh Kenny McLean dan Josip Drmic memanfaatkan bola muntah berkenaan untuk gol penyamaan.
Dalam penentuan penalti, Tim Krul menyelamatkan sepakan penalti Troy Parrott dan Gedson Fernandes manakala sepakan Erik Lamela tersasar.
Leicester turut menempah tempat ke kelompok lapan terakhir hasil kemenangan 1-0 ke atas Birmingham. Gol tunggal permainan dijaringkan Ricardo Pereira.
Skuad kendalian Brendan Rodgers itu akan melayan kunjungan Chelsea di suku akhir. Arsenal akan bertandang ke Sheffield United. – AFP