Mangsa banjir di Kota Tinggi kekal 70 orang

Mangsa banjir di Kota Tinggi kekal 70 orang

JOHOR BAHRU,. Jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir di daerah Kota Tinggi masih belum berubah dengan 70 orang daripada 21 keluarga masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) , setakat 8 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata kesemua mereka melibatkan 46 orang daripada 13 keluarga penduduk Kampung Parit Baharu, Kampung Changi dan Kampung Jumis Bukit Raja.

“Sebanyak 24 mangsa daripada lapan keluarga pula merupakan penduduk dari Kampung Mawai Baru, Kampung Mawai Lama dan Kampung Haji Mohd Jambi,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka berlindung di PPS di Sekolah Kebangsaan Teluk Ramunia dan Sekolah Kebangsaan Mawai.

Tan berkata pihaknya sentiasa memantau amaran cuaca waspada hujan lebat yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) dan sekiranya cuaca dalam keadaan baik, kesemua PPS dijangka akan ditutup.

Cuaca di kawasan Mawai setakat ini dilaporkan mendung, manakala di Ramunia pula cerah.

Sementara itu di KUCHING (Sarawak), Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai raya Kampung Jugan, Bau, telah ditutup sepenuhnya pada 9 pagi ini susulan air yang telah surut dan keadaan cuaca yang kembali baik.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)