Mangsa banjir di Terengganu, Kelantan berkurangan, Selangor kekal

Mangsa banjir di Terengganu, Kelantan berkurangan, Selangor kekal

KUALA LUMPUR,. Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Kelantan terus menunjukkan penurunan manakala di Selangor kekal setakat 8 pagi ini.

Di TERENGGANU, banjir semakin pulih apabila hanya 40 mangsa daripada 10 keluarga masih berada di tiga PPS dengan 25 orang daripada enam keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol di Kuala Nerus.

Di Dungun enam mangsa daripada dua keluarga masih berada di PPS SK Tok Kah manakala di Setiu sembilan mangsa daripada dua keluarga masih berlindung di PPS SK Kampung Rhu Sepuluh.

Sementara itu, di KELANTAN jumlah mangsa banjir melibatkan jajahan Pasir Mas dan Bachok berkurangan kepada 463 orang daripada 142 keluarga dan ditempatkan di empat PPS, sehingga 7.27 pagi ini.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 246 mangsa daripada 84 keluarga ditempatkan di PPS SK Tok Deh manakala 65 mangsa daripada 19 keluarga masih kekal berlindung di PPS Kedai Tanjong di jajahan Pasir Mas.

Di jajahan Bachok pula, 67 mangsa daripada 16 keluarga mendapat perlindungan di PPS SMK Beris Panchor manakala 85 mangsa daripada 23 keluarga berada di SK Jelawat.

Sementara itu, portal yang sama melaporkan jumlah mangsa banjir di SELANGOR pagi ini kekal seperti semalam, membabitkan 34 orang daripada 14 keluarga di satu sahaja PPS di daerah Kuala Selangor iaitu SK Sultan Abdul Aziz.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)