
Mangsa dan ahli keluarga nahas di Gerik alami trauma – Noraini
JERTIH,. Nahas ngeri membabitkan bas yang dinaiki pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Gerik, Perak pada 9 Jun lepas bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa, malah turut menjejaskan emosi ahli keluarga mereka.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata hasil lawatan ke rumah keluarga mangsa yang terkorban dan cedera mendapati, tragedi itu telah menyebabkan segelintir daripada mereka kini berasa trauma untuk menaiki kenderaan, khususnya bas.
“Apa yang saya lihat, bukan sahaja mangsa, malah ahli keluarga juga ada yang mengalami trauma, terutama apabila hendak menaiki kenderaan. Justeru, fokus kementerian kini adalah untuk menceriakan mereka dan memastikan mereka dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat seorang daripada mangsa yang cedera dalam kejadian itu, Nur Ain Najwa Mohd Ilias, 23, di rumahnya di Kampung Gong Kemuntong, di sini hari ini.
Noraini berkata bagi membantu mangsa dan keluarga yang terkesan, kementerian telah menyediakan seramai 20 kaunselor, termasuk dari Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), yang bersiap sedia untuk digerakkan ke rumah mangsa di Besut dan Setiu.
Beliau berkata perkhidmatan kaunseling turut ditawarkan oleh UPSI, universiti lain serta hospital berdekatan bagi membantu proses pemulihan emosi mangsa dan keluarga.
“Alhamdulillah, kita lihat daripada kejadian luar biasa ini, ramai pihak dari seluruh negara bersatu hati tampil membantu,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lepas, seramai 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang disewa khas dari Jertih untuk pulang ke kampus utama universiti itu di Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat kemalangan dengan sebuah Perodua Alza di JRTB.
Nahas tersebut turut menyebabkan 33 lagi cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas selain pemandu serta tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) tersebut.
–BERNAMA