MAQIS rampas 149 burung kenari Belanda bernilai lebih RM70,000

MAQIS rampas 149 burung kenari Belanda bernilai lebih RM70,000

KUALA LUMPUR, 25 Okt — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 149 ekor burung kenari dari Belanda bernilai RM72,431.88 di Stesen Kuarantin Haiwan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Rabu lepas.

Pengarah MAQIS Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata pemeriksaan mendapati burung kenari spesies Serinus canara yang cuba dibawa masuk itu tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan agensi berkenaan.

“MAQIS sentiasa melakukan pemeriksaan ke atas dagangan keluaran pertanian yang diimport di setiap pintu masuk negara.

“Ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata perbuatan mengimport haiwan hidup tanpa permit import adalah kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia atau Akta 728.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-keduanya sekali mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)