Mara taja 715 pelajar sambung pengajian ke luar negara pada tahun ini

Mara taja 715 pelajar sambung pengajian ke luar negara pada tahun ini

KUALA LUMPUR,. Majlis Amanah Rakyat (Mara) menaja 715 pelajar bagi menyambung pengajian ke luar negara pada tahun ini, kata Pengerusi Datuk Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut 558 pelajar hari ini menyertai Program Pra Pelepasan Pelajar Tajaan Mara.

Jelasnya pelajar tersebut mengikuti pelbagai jurusan dan kepakaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan Profesional diberi taklimat dan penerangan mengenai tatacara pengajian, hal ehwal pengurusan dan keselamatan di negara destinasi pengajian masing-masing.

“Daripada jumlah itu (558 pelajar), 315 pelajar di bawah Youth Talent Programme (YTP), World Top Universities (56 pelajar); Graduate Excellence Programme (130 pelajar) Professional Programme (36 pelajar) dan IPMA Excellence Students Programme (IESP) (21 pelajar).

“Pada tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion bagi tujuan penganjuran pelajaran Mara. Daripada jumlah ini sebanyak RM706 juta khusus untuk penajaan ke luar negara dan baki peruntukan adalah untuk penajaan dalam negara. Mara menyasarkan 50,000 pelajar bakal mendapat manfaat daripada program penajaan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari.

Azizah berkata Program Pra Pelepasan pada kali ini diadakan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan seperti Wisma Putra, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Bahagian Penganjuran Pelajaran (BPP) dan Bahagian Kewangan Mara (BKW).

Pada majlis Program Pra Pelepasan Pelajar Tajaan Mara itu, pelajar diberikan maklumat membabitkan isu-isu keselamatan dan kebajikan pelajar sepanjang berada di luar negara.

Penempatan pelajar baharu tajaan Mara tersebut mengikut negara adalah United Kingdom 404 pelajar, Ireland (53 pelajar), Rusia (29 pelajar), Korea Selatan (22 pelajar), Australia (19 pelajar), Kanada (enam pelajar), Sepanyol (tujuh pelajar), Belanda (tujuh pelajar), Amerika Syarikat (lima pelajar), Jerman (tiga pelajar), New Zealand, Jepun dan Denmark masing-masing seorang pelajar.

Azizah turut menasihatkan kepada semua pelajar menunjukkan sikap dan jati diri sebagai rakyat Malaysia serta menjaga nama baik keluarga, agama, negara dan seterusnya Mara.

Dalam pada itu Azizah berkata semua pelajar tajaan tersebut perlu mendapat tempat di institusi pada kedudukan sekurang-kurangnya 30 terbaik dunia berdasarkan kepada QS World University Rankings.

Jelasnya pada tahun ini, pelajar tajaan Mara turut berjaya menempatkan diri di institusi tersohor dunia seperti University of Cambridge iaitu sembilan pelajar, University of Oxford (enam pelajar), Imperial College London (36 pelajar), King’s College London (32 pelajar) dan London School Of Economics and Politic Study (15 pelajar).

Pelajar terbabit akan berlepas ke negara pengajian mereka bulan ini secara berperingkat mulai minggu hadapan.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)