Maraton di China bertukar tragedi, 20 pelari maut

Maraton di China bertukar tragedi, 20 pelari maut

BEIJING: Seramai 20 orang telah terkorban dan seorang lagi masih hilang selepas hujan batu, hujan ais dan angin kuat melanda pelari yang mengambil bahagian dalam perlumbaan merentas gunung desa sejauh 100 kilo-meter di China, menurut pegawai tempatan semalam.

“Cuaca ekstrem mengejut melanda satu bahagian altitud tinggi dalam perlumbaan yang diadakan di Yellow River Stone Forest berhampiran bandar Baiyin di wilayah barat laut Gansu pada kira-kira jam 1 petang waktu tempatan kelmarin,” menurut pihak berkuasa bandar Baiyin dalam satu taklimat.

“Bahagian altitud tinggi dalam perlumbaan antara 20 dan 31 kilometer itu tiba-tiba terjejas akibat cuaca buruk. “Dalam sekelip mata kawasan itu dilanda hujan batu dan hujan ais berserta angin kuat. “Suhu juga menjunam mendadak,” kata datuk bandar Baiyin Zhang Xuchen.

Sejurus selepas menerima mesej bantuan daripada beberapa peserta, pihak pe-nganjur maraton mengerahkan pasukan penyelamat yang berjaya menyelamatkan 18 peserta, kata beliau.
Kira-kira jam 2 petang, keadaan cuaca bertambah buruk dan perlumbaan se-gera dihentikan ketika pihak berkuasa tempatan menghantar lebih ramai anggota penyelamat untuk membantu, tambah Zhang.

“Insiden ini merupakan insiden keselamatan awam yang berpunca daripada perubahan mengejut cuaca di kawasan tempatan,” kata beliau, sambil menambah bahawa pihak berkuasa wilayah akan menyiasat lebih lanjut puncanya.

Seramai lapan lagi pelari telah menerima rawatan di hospital bagi kecederaan ringan, kata Zhang. Agensi berita negara Xinhua pada mulanya melaporkan beberapa pelari telah mengalami hipotermia akibat kesan cuaca tersebut.

Suhu di cerun pergunungan menurun lagi semalaman, kata Xinhua, menjadikan usaha mencari dan menyelamat lebih sukar. “Sehingga jam 3 pagi waktu tempatan semalam, 151 peserta telah disahkan selamat, di mana lima yang mengalami kecederaan ringan telah menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil,” katanya. Xinhua menyatakan seramai 172 orang telah mengambil bahagian dalam perlumbaan tersebut.

Gansu, salah satu wilayah paling miskin di China, bersempadan dengan Mongolia hingga ke utara dan Xinjiang di barat. Banjir dan tanah runtuh teruk telah melanda wilayah sebelum ini, dengan gelongsoran lumpur dilaporkan membunuh lebih 1,000 orang di sebuah pekan pada 2010.

Ia turut terdedah kepada gempa bumi.

Hutan Batu Sungai Yangtze terkenal dengan peman-dangan gunung lenjan tidak rata dilatari stalagmit dan tiang batu, serta digunakan sebagai lokasi dalam banyak rancangan televisyen dan filem China, menurut China Daily.

Formasi batunya dipercayai berusia kira-kira empat bilion tahun, menurut akhbar Daily.

— Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)