MARDI tamatkan jualan benih asas varieti padi MR 219 November depan

KUALA LUMPUR,. Institut Pertanian dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengumumkan penamatan penjualan benih asas varieti padi MR 219 bermula 1 November depan.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata penamatan itu susulan prestasi semasa varieti padi MR 219 yang rentan kepada serangan penyakit karah daun dan karah tangkai.

“Kerentanan ini menyebabkan kehilangan hasil tuaian padi melebihi 50 peratus yang mendorong kepada penurunan pendapatan pesawah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata sehubungan penamatan benih asas varieti MR 219 itu, MARDI mengesyorkan para pengeluar benih dan pesawah menggunakan varieti padi MARDI yang telah diisytihar serta terdapat di pasaran antaranya MR 315 (Seri Waja), MARDI Sempadan 303, MARDI Sebernas 307 dan MARDI Siraj 297.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Beras MARDI Dr Asfaliza Ramli di alamat e-mel [email protected].gov.my.

Varieti MR 219 yang diisytihar pada 2001 di Felcra Seberang Perak merupakan varieti pemula yang berhasil tinggi iaitu lapan tan per hektar selain digunakan pesawah selama 10 tahun.

Bagaimanapun, selepas 10 tahun penggunaan varieti itu, ia mula menunjukkan kerentanan kepada penyakit dan perosak utama serta mudah rebah dan dihentikan penanaman selepas 2011.

Namun, pada 2019, varieti MR 219 telah ditanam semula kerana masih ramai petani yang meminati varieti tersebut sehingga menyebabkan penularan penyakit karah daun dan karah tangkai.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )