MARii lancar program usahawan tekno untuk PKS luar bandar

MARii lancar program usahawan tekno untuk PKS luar bandar

KUALA LUMPUR,. Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) telah melancarkan Program Pembangunan Usahawan Tekno (TDP) bagi membolehkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memanfaatkan teknologi sedia ada untuk meningkatkan operasi mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini, MARii berkata program tersebut yang dibangunkan bersama dengan Fintech Lab, bertujuan membantu PKS meningkatkan penerimaan serta pelaksanaan mekanisme dan sistem digital menerusi satu perkongsian platform dibangunkan bersama institut itu dan rakan kerjasamanya.

Projek rintis TDP itu dilancarkan hari ini oleh Menteri Perdagangan Antarabangda dan Industri Datuk Darell Leiking bersempena acara Malaysia Autoshow Sabah 2019, di Penampang, Sabah.

Menurut MARii, sebanyak 10 usahawan PKS di Sabah khususnya yang terbabit dalam kraftangan, perabot serta makanan dan konfeksi telah disenaraipendek sebagai peserta program tersebut.

Mereka akan menjalani sesi bimbingan dan latihan mengenai penerapan dan pelaksanaan teknologi berkaitan Industri 4.0 serta amalan perniagaan baharu sejajar dengan Dasar Kebangsaan Mengenai Industri 4.0.

Program enam bulan itu turut merangkumi sesi padanan perniagaan dan peserta akan diberi bantuan dan bimbingan dalam aspek pengurusan kewangan.

Sementara itu, Darell berkata program seperti TDP ini membolehkan kalangan perniagaan, terutamanya industri luar bandar untuk memanfaatkan teknologi sedia ada bagi meningkatkan serta membolehkan operasi harian mereka terbabit dalam usaha pendigitalan.

“Perkongsian teknologi yang merentasi sektor itu akan memberi akses lebih mudah untuk syarikat yang beroperasi di pedalaman memodenkan operasi mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARii Datuk Madani Sahari berkata PKS merangkumi sebahagian besar daripada ekonomi Malaysia dan adalah penting untuk memastikan manfaat teknologi tersebut dijadikan keutamaan, khususnya dalam ekosistem PKS.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This