
Maritim Malaysia gagal cubaan seludup syabu RM10 juta
BATU PAHAT,. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup dadah dipercayai jenis syabu ke negara jiran yang dianggarkan bernilai RM10 juta di perairan Sungai Ayam di sini pada 16 Mei lepas.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim negeri Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata rampasan terbesar dalam tempoh lima tahun itu dilakukan hasil maklumat risikan berhubung pergerakan mencurigakan sebuah bot gentian kaca di kawasan terbabit.
Beliau berkata sebuah bot ronda telah diatur gerak ke lokasi untuk memeriksa dan memintas bot berkenaan namun apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa suspek melarikan diri ke kawasan cetek sebelum terjun serta meloloskan di ke hutan paya bakau.
“Dipercayai dua suspek warga tempatan berjaya melarikan diri dan meninggalkan bot yang menggunakan enjin sangkut mempunyai 200 kuasa kuda.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot menemukan 12 guni berisi bungkusan plastik mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang akhbar di Zon Maritim Batu Pahat di sini hari ini.
Kama Azri berkata melalui pemeriksaan lanjut mendapati setiap guni seberat 25 kilogram (kg), dengan jumlah keseluruhan rampasan mencecah 300 kilogram (kg).
Beliau berkata jika berjaya dipasarkan, dadah berkenaan mampu digunakan lebih sejuta penagih dan siasatan lanjut masih dilakukan oleh pihaknya.
“Kesemua rampasan, termasuk bot gentian kaca berkenaan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan akan terus meningkatkan operasi serta penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.
— BERNAMA