Maritim tahan bot memukat di kawasan tidak dibenarkan

Maritim tahan bot memukat di kawasan tidak dibenarkan

KUALA PERLIS,. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Kuala Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 yang berpangkalan di Kuala Kedah kerana menceroboh kawasan tangkapan ikan Zon A di sini pada Rabu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata seorang tekong dan empat awak-awak berumur antara 22 dan 64 tahun kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) kerana melanggar syarat lesen iaitu memukat ikan kurang dari 8 batu nautika dari pantai.

“Mereka sanggup menunda bot dalam keadaan gelap demi mengaut keuntungan berganda di kawasan yang tidak dibenarkan sebelum ditahan kira-kira 2.2 batu nautika dari pantai Kuala Sanglang dalam Ops Patkor Optima 28B/2019 yang dijalankan sekitar perairan Perlis pada kira-kira pukul 1.14 pagi Rabu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas bot itu menemukan hasil tangkapan seberat 200 kilogram ikan campur selain satu gulung pukat tunda serta dua buah kayu tunda, dan menurutnya semua awak-awak, bot dan hasil tangkapan ikan itu dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pihak Maritim akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara, dan orang ramai boleh memaklumkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim di Perlis dengan menelefon MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis, 04-9851072 atau 04-9851162.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )