Masa depan dunia bergantung kepada pelaburan pendidikan wanita

Masa depan dunia bergantung kepada pelaburan pendidikan wanita

KUALA LUMPUR,. “Kebenaran dan hak tidak hanya daripada pemikiran seorang lelaki. Jika kita kurang melabur dalam separuh daripada jumlah penduduk dunia, saya jamin anda akan kehilangan beberapa jawapan yang betul. ”

Kata-kata itu diucapkan oleh bekas wanita pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama, ketika beliau berada di pentas bersama pelakon Hollywood Julia Roberts pada hari ketiga Persidangan Pemimpin Yayasan Obama: Asia-Pasifik di sini, yang sebelum ini mengadakan lawatan ke Vietnam bersama Girls Opportunity Alliance.

Girls Opportunity Alliance adalah inisiatif di bawah Yayasan Obama yang memberi tumpuan kepada pembiayaan kepada organisasi akar umbi seperti ‘Room to Read’ dan ‘Rock-Paper-Scissors Children’s Fund’ bagi memastikan wanita muda mendapatkan akses sama rata dalam pendidikan.

‘Room to Read’ adalah program yang mengubah kehidupan anak-anak dalam masyarakat berpendapatan rendah dengan memberi tumpuan kepada literasi dan kesaksamaan jantina dalam pendidikan manakala ‘Rock-Paper-Scissors Children’s Fund’ menyediakan peluang belajar untuk pelajar muda menerusi program seni dan muzik.

Antara projek ‘Rock-Paper-Scissors Children’s Fund’ baru-baru ini ialah pemberian basikal kepada kanak-kanak perempuan yang miskin dan tinggal di pedalaman Vietnam bagi membantu mereka ke sekolah kerana ada dalam kalangan mereka terpaksa berjalan kaki ke sekolah dan menjadi sasaran penyeludupan manusia.

Advokasi Michelle terhadap pendidikan kanak-kanak perempuan berdasarkan fakta bahawa 98 juta gadis di seluruh dunia tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya disebabkan oleh kemiskinan dan kebimbangan ibu bapa mereka terhadap keselamatan mereka.

Beliau yang merupakan graduan Princeton University dan Harvard Law School berkata advokasi diri dan keyakinan diri harus ditanamkan dalam minda kanak-kanak lebih awal dan pemimpin-pemimpin muda di Asia-Pasifik harus menjadi cahaya dalam kehidupan anak-anak ini.

“Intelek tidak mengenal jantina, kemungkinan tidak mengenal kaum, dan ia tidak mengenal agama,” katanya dalam sesi pleno, di mana bekas Miss Malaysia dan pengacara televisyen Deborah Henry bertindak sebagai moderator.

Program lima hari yang dianjurkan oleh Yayasan Obama mengumpulkan 200 bakal pemimpin dari 33 negara dan wilayah di seluruh rantau ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)