Masih awal nilai keberhasilan ‘Taawun Siyasi’ UMNO-PAS
KUALA LUMPUR,. Usai Piagam Muafakat Nasional antara UMNO-PAS dimeterai, ‘taawun siyasi’ (kerjasama) antara kedua-dua parti itu disambut dengan pelbagai persepsi dan tidak kurang juga yang ragu-ragu dengan penyatuan itu.
Antara persoalan utama, sejauh mana kerjasama itu benar-benar memenuhi matlamat untuk penyatuan ummah tanpa didasari kepada kepentingan dan kehendak politik semata-mata.
Penegasan pucuk pimpinan UMNO dan PAS bahawa penyatuan itu tidak akan meminggirkan kaum-kaum lain juga menimbulkan ‘was-was’, sehingga banyak pihak mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum menilai perkembangan kerjasama itu.
Ketua MCA Cawangan Batu 11 Cheras, Tan Chee Teong, berkata masih terlalu awal untuk melihat halatuju kerjasama itu dan pastinya ia tidak lari dari alasan mengukuhkan undi.
“Pada pandangan peribadi saya, saya rasa ini (hasil) PAS-UMNO (kerjasama), ia masih terlalu awal, ia lebih kepada memorandum, jadi tidak boleh kita nak nilai lagi mereka ini berjanji kosong atau berjanji tepat.
“Bagaimanapun, saya merasa ianya satu starting point yang baik, jika benar prinsip yang didukung ianya selari dengan perjuangan MCA iaitu memperjuangkan multiçulturalisme, memajukan Malaysia atas dasar kebersamaan dan kesefahaman antara kaum,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Tan juga berpendapat tiada sebarang halatuju yang jelas bagi kerjasama berkenaan, namun berharap UMNO dan PAS akan memperincikan objektif kerjasama itu sebagai panduan komponen yang lain, dan tidak sekadar retorik politik semata-mata.
“Rakyat negara ini telah muak dengan ayat-ayat politik pemimpin yang hanya inginkan kuasa, mempunyai agenda tersembunyi, justeru sekarang rakyat mengelak untuk dengar janji-janji politik, sebaliknya mahukan satu dasar perjuangan yang jelas untuk manfaat rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy berkata beliau bersikap ‘tunggu dan lihat’ pada hasil kerjasama UMNO-PAS itu.
“Kita tidak tahu macam mana ia (hasil kerjasama) akan ke akar umbi, tetapi kita akan tunggu dan lihat,” katanya.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menandatangani Piagam Muafakat Nasional
Piagam itu, yang merupakan satu tatakelola kerja bagaimana kedua-dua parti harus bergerak dari sekarang hingga ke pilihan raya umum yang akan datang antaranya mengandungi penekanan memperkukuhkan Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.
— BERNAMA