Masih berbisa, Thanabalan tagih kepercayaan

Masih berbisa, Thanabalan tagih kepercayaan

KUALA LUMPUR,. Daripada seorang penyerang muda sensasi dengan kelebihan tandukan sebagai senjata pemusnah, N.Thanabalan yang semakin dilupakan kini sedang berusaha keras demi ‘menyelamatkan’ kariernya.

Anak jati Rantau, Negeri Sembilan itu menjadi sebutan peminat bola sepak tanah air pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, menanduk masuk gol kemenangan Malaysia menewaskan Indonesia pada aksi separuh akhir sekali gus mencetuskan fenomena selain meraih populariti segera.

Tandukan penyamaan ketika berdepan Korea Selatan membuktikan Thanabalan terus menyengat di pentas Asia apabila membantu Malaysia mara hingga ke suku akhir Kejuaraan Bawah 23 (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 selepas tewas 1-2 di tangan Korea Selatan.

Namun, Thanabalan bergelut dalam mencipta nama di Liga Malaysia (Liga-M) akibat kecederaan dialami yang memaksa beliau berehat panjang selain kecenderungan hampir kesemua pasukan di Liga Malaysia (Liga-M) memilih pemain import sebagai penyerang mereka.

“Saya masih seorang pemain bola sepak yang sama, saya masih Thanabalan yang menggunakan kereta Proton Iswara sama. Tak ada beza pada diri saya sejak Sukan SEA 2017 cuma saya berehat panjang susulan pembedahan lutut kiri sebelum menerima tawaran Kedah dan selepas itu ia satu fasa yang sukar.

“Dengan jumlah pemain import di Kedah, memang sukar dapatkan minit permainan kerana bukan senang merebut posisi di bahagian serangan. Saya tidak salahkan jurulatih atau pihak pengurusan, mereka perlu buat apa yang perlu dibuat untuk menang,” kata pemain berusia 24 tahun itu kepada Bernama hari ini.

Thanabalan hanya membuat 16 penampilan bersama Kedah sejak meninggalkan Negeri Sembilan untuk menyertai skuad Lang Merah itu dalam Liga Super musim 2019, namun perkembangan prestasinya menerima tamparan apabila dipinjamkan ke Perak II yang bersaing dalam Liga Premier musim ini.

Tanpa berselindung, Thanabalan mengakui telah berbelanja besar ketika di Kedah untuk membentuk fizikal mantap selain mencapai kecergasan terbaik dan berharap dapat kembali menemui sentuhan dengan peluang berlatih di bawah ketua jurulatih Perak II, Abu Bakar Fadzim.

“Di Kedah saya ambil protein sebagai makanan tambahan dan berlatih di luar waktu latihan supaya fizikal saya lebih berisi untuk cabar posisi di bahagian serangan tetapi badan saya tetap macam ini sebab itu saya hanya bersetuju menyertai Perak II selepas jurulatih faham minit permainan adalah apa saya perlukan.

“Beliau (Abu Bakar) seorang jurulatih yang tegas dan mempunyai visi jelas…sentiasa mahukan pemainnya bekerja keras dan fokus dalam latihan selain sering berterus terang demi kebaikan pemain. Gaya latihannya pun unik dan berintensiti tinggi jadi ini akan bantu saya lebih cergas,” jelasnya.

Thanabalan yang ‘sepi’ daripada kancah antarabangsa hampir tiga tahun belum bersedia mengibarkan bendera putih selepas menyasarkan untuk kembali beraksi bersama skuad kebangsaan selain ingin menembusi skuad utama Perak pada musim 2020.

“Kalau dapat menyertai kem latihan skuad kebangsaan ia cukup baik, disenaraikan atau tidak saya tidak mahu fikirkan lagi tetapi selepas tiga tahun, ia akan jadi satu motivasi yang amat bagus untuk saya. Kedua, jika dapat peluang diserap ke pasukan Perak ia turut menggembirakan saya,” katanya.

Thanabalan sering diberi kepercayaan ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun negara (B-22) Datuk Ong Kim Swee ketika bersama skuad remaja negara itu, namun sehingga kini gagal menembusi skuad kebangsaan kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe.

— BERNAMA

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )