Mat Sentol terima Anugerah Kehormat Permata Dunia daripada MMU

Mat Sentol terima Anugerah Kehormat Permata Dunia daripada MMU

JOHOR BAHRU,. Pelawak dan pelakon veteran filem Melayu, Abdul Rasip Yahya atau lebih dikenali sebagai Mat Sentol menerima Anugerah Kehormat Permata Dunia daripada Universiti Multimedia (MMU).

Anugerah julung kali diperkenalkan MMU itu diberikan kepada Abdul Rasip bagi mengiktiraf dan menghargai jasa serta sumbangannya dalam bidang seni sinematik dan industri kreatif tanah air.

Abdul Rasip, 90, atau lebih mesra dipanggil “Pak Mat” berkata beliau merasa sangat terharu atas penghargaan yang diberikan kepadanya itu.

“Pak Mat rasa sangat gembira sebab ada juga orang yang masih lagi ingat pada Pak Mat.

“Zaman dahulu buat filem karya seni sinematik, semua buat sendiri (berbanding kecanggihan teknologi masa ini). Saya suka mencuba, jadi idea pun datang semula jadi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Penerima Anugerah Kehormat Permata Dunia 2023 di sini semalam.

Anak kelahiran Muar yang pernah membintangi beberapa filem seperti Mat Bond, Mat Magic, Mat Karong Guni, Mat Toyol dan Mat Tiga Suku itu, turut memberikan nasihat kepada generasi muda agar sentiasa berani untuk menyahut cabaran dalam memajukan diri.

“Kepada anak-anak muda, kalau hendak buat apa-apa, buat sahaja, asalkan ia bukan perkara yang salah atau negatif,” katanya.

Keadaan kesihatan figura yang pernah aktif menghasilkan iklan televisyen dan radio antaranya Jojo, Tora, Ding Dang dan Apollo itu setakat ini adalah baik, namun pergerakannya agak terbatas disebabkan faktor usia.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MMU Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud berkata idea dan bakat serta kerja kreatif Abdul Rasip, telah mempengaruhi serta memberi impak signifikan kepada pertumbuhan seni dan kreativiti dalam masyarakat.

“Kegigihannya dalam menghasilkan teknik-teknik kesan khas produksi filem secara kreatif, berani dan berfikir di luar kotak kebiasaan mendahului zamannya, meskipun teknologi ketika itu amat terbatas.

“Walaupun anugerah ini hanyalah kecil jika dibandingkan dengan sumbangan besar beliau dalam dunia kreatif, MMU berharap ia akan menjadi inspirasi kepada masyarakat dan beliau akan terus menjadi ikon untuk diteladani oleh pengamal industri kreatif pada masa depan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)