Mata wang kripto: Bank di AS terima amaran daripada agensi monetari negara

Mata wang kripto: Bank di AS terima amaran daripada agensi monetari negara

WASHINGTON,. Bank di Amerika Syarikat (AS) menerima amaran pertama daripada agensi monetari negara mengenai risiko penularan berkaitan mata wang kripto yang telah bertukar daripada perdagangan sangat menarik lebih setahun lepas, kepada status terendahnya selepas kejatuhan tukaran kripto FTX, lapor Sputnik.

Dalam kenyataan bersama mengenai kripto, Rizab Persekutuan, Federal Deposit Insurance Corp dan Pejabat Pengawal Mata Wang menyatakan kebimbangan tentang keselamatan dan kedudukan model perniagaan bank masing-masing berikutan pendedahan yang tertumpu kepada mata wang kripto dan aktiviti berkaitan dengan industri terbabit.

“Keadaan pada tahun lalu mencatatkan turun naik yang ketara dan pendedahan kelemahan dalam sektor aset kripto.

“Oleh itu risiko yang berkaitan dengan sektor aset kripto yang tidak boleh dikurangkan atau dikawal, perlu dipastikan tidak menular ke dalam sistem perbankan,” menurut kenyataan itu.

FTX, yang diasaskan pada 2019, mempunyai lebih satu juta pengguna dan merupakan firma dagangan mata wang kripto ketiga terbesar mengikut jumlah, ketika syarikat itu memfailkan kebankrapan pada November.

Pengasas syarikat itu, Sam Bankman-Fried, mengaku tidak bersalah di mahkamah Manhattan pada Selasa atas perbuatan yang disebut oleh seorang pendakwa raya persekutuan sebagai penipuan epik.

Sejak kejatuhan FTX, mata wang kripto juga hilang sebahagian besar nilainya menyaksikan Bitcoin mencecah paras terendah lebih daripada dua tahun pada sekitar AS$15,500, sebelum melantun semula untuk didagangkan di bawah AS$16,700.

Tiga agensi monetari itu berkata bank yang mengeluarkan atau memegang token kripto yang disimpan dalam rangkaian awam tidak berpusat “berkemungkinan besar” tidak konsisten dengan amalan perbankan yang selamat dan kukuh.

Pendirian itu memberi tamparan kepada usaha beberapa bank untuk menyediakan perkhidmatan kripto kepada pelanggan mereka.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)