Matrix Concepts ambil alih operasi pengurusan pusat perubatan, klinik PHM

Matrix Concepts ambil alih operasi pengurusan pusat perubatan, klinik PHM

SEREMBAN,. Pemaju perumahan Matrix Concepts Holdings Bhd menerokai bidang penjagaan kesihatan menerusi pelantikannya sebagai pengurus eksklusif bahagian hospital pakar, pusat hemodialisis dan klinik Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) di Seremban.

Anak syarikat milik 70 peratus Matrix Concepts iaitu Matrix Medicare Sdn Bhd (MMSB) hari ini menandatangani perjanjian dengan PHM untuk mengurus operasi itu selama 30 tahun, menyediakan perkhidmatan berkaitan perkara bukan klinikal termasuk kewangan, pentadbiran dan pengurusan sumber.

Penerokaan terbaru itu dijangka menyediakan aliran pendapatan kukuh dan akan menyaksikan kumpulan mempelbagaikan lagi asas pendapatannya, dengan portfolionya sudah merangkumi unit pembinaan, unit pendidikan dan unit perniagaan hospitaliti.

Timbalan Pengerusi Eksekutif kumpulan Matrix Concepts Datuk Lee Tian Hock, yang juga pengerusi PHM, berkata MMSB akan membuat bayaran pendahuluan berjumlah RM23.4 juta kepada PHM pada 1 Okt, 2019, untuk hak eksklusif.

Sebagai balasan, MMSB akan berhak kepada 15 peratus yuran pengurusan ke atas hasil pengurusan operasi (GOR) dengan syarat GOR tahunan pusat dan klinik itu berjumlah tidak kurang daripada RM48 juta, katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian perjanjian itu antara MMSB dan PHM di sini, hari ini.

“Kami positif dengan kerjasama kami dengan PHM, yang mempunyai pangkalan pesakit yang kukuh, kerana ia akan membolehkan kemasukan kami dengan lancar ke dalam sektor penjagaan kesihatan tanpa tempoh penubuhan yang panjang, sekaligus menyediakan aliran peningkatan hasil segera kepada kumpulan.

“Kerjasama ini juga memberikan platform unggul kepada kami untuk membiasakan diri kami dengan industri hospital, dan kami teruja dengan penubuhan pusat perubatan utama di daerah perniagaan penting di kawasan Bandar Sri Sendayan ini,” kata Lee, yang memiliki baki 30 peratus kepentingan ekuiti dalam MMSB.

Pada majlis itu, Pengarah Urusan kumpulan Matrix Concepts Ho Kong Soon menandatangani perjanjian itu bagi pihak MMSB manakala PHM diwakili Timbalan Pengerusi Lau Chee Boon dan Bendahari Datuk Tan Suan Ching.

Lee berkata PHM ialah organisasi amal bebas yang ditubuhkan pada 1995 untuk menawarkan penjagaan perubatan kepada pesakit didiagnosis dengan penyakit buah pinggang dan selepas itu mengasaskan Pusat Perubatan Mawar (PPM), sebuah hospital pakar.

PPM menghentikan operasinya pada November 2018 selepas lesen operasi pusat itu dibatalkan oleh Kementerian Kesihatan. Dilaporkan kebanyakan pakar perubatannya telah meletak jawatan atas sebab pembayaran.

Lee berkata lesen baharu untuk mengendalikan operasi pusat itu telah diluluskan oleh kementerian pada 11 Sept.

“Semua syarat ditetapkan berhubung perjanjian pengurusan itu telah dipenuhi oleh kedua-dua pihak termasuk PHM memperoleh kelulusan majlisnya, memperoleh semua lesen, permit, pensijilan dan kelulusan lain yang diperlukan untuk PHM menyambung semula operasi pusat itu dan memberikan surat kuasa wakil penuh kepada MMSB untuk menjalankan kewajipannya yang ditetapkan dalam perjanjian pengurusan itu,” katanya.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Pengerusi Matrix Concepts Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata sejak penyenaraiannya, kumpulan itu aktif mempromosi dan mengembangkan jenama Matrix Concepts melangkaui pembangunan hartanah dan kekukuhan jenamanya di Negeri Sembilan.

“Dalam usaha kami menjayakan agenda ini, kami sentiasa mengekalkan komitmen kami untuk memberi kesejahteraan kepada kehidupan masyarakat dan menerusi bidang baharu ini, kami berharap untuk meningkatkan lagi khidmat kami kepada komuniti dengan menawarkan penjagaan kesihatan berkualiti, dan mampu.

“Disebalik pelbagai cabaran, kami percaya industri ini kekal menarik kepada Matrix. Ini ditambah dengan pengalaman Datuk Lee sebelum ini dalam kapasiti peribadinya, di mana beliau dan pasukannya telah memulihkan Pusat Perubatan Hospital Bersalin Cina Negeri Sembilan pada Disember 2013, yang ketika itu dalam kedudukan teruk, untuk muncul sebagai hospital pakar komuniti yang menguntungkan dan terkemuka, yang pastikannya PHM akan turut mencipta kejayaan serupa,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)