Matta Fair 2020 dalam talian satu lonjakan untuk promosi pelancongan

Matta Fair 2020 dalam talian satu lonjakan untuk promosi pelancongan

KUALA LUMPUR, 29 Julai — Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengumumkan MATTA Fair Dalam Talian 2020 sebagai satu inisiatif baharu untuk memudah cara ahli-ahli persatuan itu menjual pakej percutian terutamanya untuk percutian dan perjalanan domestik.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata acara itu akan berlangsung dari 9 hingga 15 September tahun ini dengan kerjasama pelbagai rakan kongsi pelancongan untuk menyediakan pelbagai diskaun menarik seiring dengan permintaan pelancongan tempatan semasa.

“MATTA bekerjasama rapat dengan rakan kongsi dan penaja yang berpotensi termasuk Tourism Malaysia, Malaysia Airlines, Penang Global Tourism, Persatuan Hotel Malaysia, Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia, Persatuan Spa Malaysia, BOOST, IPAY88 dan lain-lain pejabat pelancongan negeri.

Untuk menambah keseronokan di MATTA Fair Dalam Talian, pempamer akan menawarkan tawaran terbaik mereka dengan perkhidmatan tambah nilai pada kadar istimewa dan potongan harga serta pelanggan boleh melihat banyak pakej pelancongan dan perjalanan dengan pelbagai julat barangan nic dan produk terkini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata mereka sedang bekerja keras menerusi acara MATTA Fair Dalam Talian biarpun keadaan mencabar berikutan pandemik COVID-19.

Pendaftaran untuk penyertaan acara bermula hari ini sehingga 10 Ogos dan untuk lebih maklumat terkini, sila lawat akaun MATTA Fair facebook @mattafairkualalumpur dan akaun Instagram rasmi @mattafair.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )