MAVCOM terima 1,251 aduan pada separuh pertama 2022

MAVCOM terima 1,251 aduan pada separuh pertama 2022

KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menerima 1,251 aduan sepanjang separuh pertama 2022 dan ia adalah peningkatan hampir lapan kali daripada 157 aduan yang diterima dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam kenyataan pada Isnin, MAVCOM menjelaskan menurut Laporan Pengguna dwitahunan bagi separuh pertama 2022 yang diterbitkannya, 99.1 peratus (1,240) daripada aduan yang telah diterima adalah berkaitan syarikat penerbangan manakala 0.9 peratus (11) daripada aduan tersebut pula berhubung lapangan terbang.

AirAsia menerima jumlah aduan tertinggi dari Januari hingga Jun 2022 iaitu sebanyak 42.1 peratus (527) daripada jumlah keseluruhan aduan yang diterima, diikuti oleh Malaysia Airlines dengan 40.7 peratus (509) dan Batik Air dengan 7.9 peratus (99) aduan, tambahnya.

MAVCOM memaklumkan, bagi setiap juta penumpang yang dibawa, Malaysia Airlines mencatatkan jumlah aduan berdaftar tertinggi dengan 199 aduan, diikuti Batik Air dengan 167 aduan manakala AirAsia dengan 95 aduan.

Penjadualan semula, pembatalan penerbangan serta tempahan dalam talian secara kolektif menyumbang kepada 46.1 peratus (577) daripada jumlah aduan yang telah diterima, menurutnya.

Suruhanjaya itu menjelaskan hasil semakan terhadap aduan yang diterima, kira-kira satu perempat daripada aduan yang diterima pada separuh pertama 2022 menunjukkan syarikat penerbangan mengubah keputusan awal mereka dengan memberikan penyelesaian yang lebih adil atau lebih memuaskan kepada pengguna.

Secara keseluruhan, 87.9 peratus (1,100) daripada jumlah aduan telah diselesaikan dan ditutup, menurutnya.

Selain itu, MAVCOM turut menerima 1,317 aduan namun tindakan tidak dapat diambil kerana 1,160 daripada jumlah aduan tersebut tidak mempunyai dokumentasi yang lengkap, manakala bagi 59 aduan pula syarikat penerbangan atau lapangan terbang terbabit telah memenuhi kewajipan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC).

35 aduan yang lain telah ditarik balik oleh pengguna, 31 aduan berada di luar skop MACPC, 29 aduan yang berkaitan dengan tempahan yang dibuat melalui ejen pelancongan serta tiga aduan dibuat lebih setahun dari tarikh kejadian, tambahnya.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata perjalanan udara global menyaksikan pemulihan yang kukuh pada separuh pertama tahun ini, terutama apabila semakin banyak sempadan antarabangsa dibuka semula dan pengembara mengambil peluang untuk melancong ke luar negara serta penerbangan domestik yang bertambah baik.

Beliau berkata trafik penumpang meningkat daripada purata 2.9 juta di antara Januari dengan April 2022 kepada purata 4.79 juta bagi tempoh Mei hinga Jun 2022.

“Sememangnya, penyedia perkhidmatan penerbangan Malaysia harus bersedia dengan memberi perhatian kepada pecahan aduan yang digariskan dalam Laporan Pengguna sebagai panduan untuk terus menambah baik tahap perkhidmatan serta menangani punca isu-isu semasa.

“Sebagai langkah proaktif oleh MAVCOM, kami juga telah mengadakan libat urus secara aktif bersama penyedia perkhidmatan penerbangan untuk memastikan isu-isu seperti ini ditangani,” katanya.

Laporan Pengguna dwitahunan yang ke-12 itu menyediakan ringkasan yang jelas dan menyeluruh mengenai keadaan industri penerbangan semasa tempoh pemulihan perjalanan udara selepas pandemik COVID-19 serta kesannya terhadap pengguna penerbangan.

Laporan itu boleh didapati di laman web suruhanjaya di www.mavcom.my.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)