Maxis guna Google Cloud lonjakkan analisis data perniagaan

Maxis guna Google Cloud lonjakkan analisis data perniagaan

KUALA LUMPUR,. Maxis menjalin kerjasama dengan Google Cloud bagi mengintegrasikan analisis data ke dalam setiap aspek perniagaannya merangkumi pengguna hingga perusahaan, rangkaian, saluran runcit dan pekerja bagi menyuntik pengalaman peribadi tersendiri untuk pelanggan.

Ketua Pegawai Teknologi dan Maklumatnya, Morten Bangsgaard berkata program transformasi analisis digital syarikat itu memerlukan peralihan 100 peratus kepintaran perniagaannya, analisis data dan pembelajaran mesin (ML) di premis kepada pengkomputeran awan bagi memberi pandangan tepat masanya serta selamat.

“Ini menjadikan Maxis sebagai salah satu syarikat pertama di rantau Asia Tenggara yang meraih pencapaian ini. Pada masa sama, Maxis juga telah mewujudkan Pusat Kecemerlangan Data Raya dan Analisis Lanjutan serta Kecerdasan Buatan (AI) dengan para saintis data yang mahir serta program-program komitmen berkaitan.

“Transformasi kami adalah inisiatif yang didorong secara menyeluruh dan diterima oleh semua pekerja syarikat, sejajar dengan minda pelanggan pertama dan impian kami untuk menjadi peneraju syarikat penyelesaian bersepadu di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Usaha yang dimulakan dengan rakan pilihan awan bagi Analisis Data organisasi menyaksikan Maxis memanfaatkan inovasi AI/ML terkini dan terbaik Google Cloud serta sejumlah besar penyelesaian teknologi Google Cloud.

Platform awan berskala ini menyediakan pendekatan menjimatkan untuk pengembangan masa depan bagi menyokong keperluan perniagaan Maxis yang kian meningkat, terutamanya dalam menguruskan lonjakan data dengan lebih pantas.

Sementara itu, Pengarah Urusan Google Cloud Rick Harshman menyifatkan kerjasama itu akan menyaksikan Maxis mengubah silo data dan meraih wawasan perniagaan kritikal yang dapat memenuhi matlamat perniagaan serta memacu inovasi di semua peringkat organisasi.

“Malah, perniagaan perlu membuat keputusan berdasarkan data secara masa nyata untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan, mempercepatkan masa pemasaran dan melonjakkan kelebihan daya saing mereka,” katanya.

Selain itu, Google Cloud dan Maxis akan turut bekerjasama melancarkan program pengembangan kerjaya yang disusun khusus untuk membina pengetahuan teknikal dan kepakaran dalaman selain meningkatkan jumlah jurutera data bertauliah Google dalam organisasi.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )