Mayat berpakaian penyelam ditemukan terapung di Sungai Besar

Mayat berpakaian penyelam ditemukan terapung di Sungai Besar

SHAH ALAM,. Mayat seorang lelaki lengkap berpakaian penyelam berserta balang oksigen, ditemukan terapung oleh nelayan tempatan di kira-kira 8.7 batu nautika barat daya Sungai Besar petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata mayat itu ditemukan kira-kira jam 3 petang, sebelum nelayan terbabit menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memaklumkan penemuan tersebut.

Katanya pasukan mencari dan menyelamat APPM, berserta bot Pasukan Polis Marin bertindak ke lokasi kejadian bagi mengesan mayat berkenaan, dan telah ditemukan terapung sekitar jam lebih kurang 6 petang.

“Pasukan Polis Marin telah membawa mayat ke jeti Nelayan Sungai Besar pada jam 9 malam, sebelum dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk proses pengecaman,” katanya.

Mohd Rosli berkata, penemuan mayat berkenaan mempunyai kaitan dengan insiden kehilangan seorang penyelam di perairan Sungai Besar pada 3 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, seorang penyelam Calvin Patrick Lazaroo, 27, dipercayai telah melakukan selaman bersama tiga rakan yang lain, bagi tujuan mengikat tali pada bot karam sebelum mangsa hilang pada jam lebih kurang 10.30 pagi, dan tidak timbul ke permukaan air di perairan Sungai Besar, Selangor.

Pencarian telah dilakukan di sekitar perairan Sungai Besar dengan melibatkan dua aset APMM, satu aset dari Tentera Laut Diraja Malaysia, dua aset dari Pasukan Polis Marin serta komuniti nelayan, manakala pencarian melalui udara dilakukan oleh pesawat dari APMM dan Polis Diraja Malaysia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)