Maybank miliki modal, mudah tunai kukuh untuk tangani ketidaktentuan

Maybank miliki modal, mudah tunai kukuh untuk tangani ketidaktentuan

KUALA LUMPUR,. Maybank hari ini menegaskan bahawa kedudukan mudah tunai serta modalnya adalah kukuh dan telah dirangka selama ini demi memastikannya mampu menangani sebarang kesukaran akibat perubahan persekitaran operasi, termasuk penularan COVID-19 pada masa ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan susulan tindakan Fitch Ratings menyemak turun penarafan bank itu kepada ‘BBB+’ daripada ‘A-,’ Maybank berkata nisbah kecairan atau mudah tunai modalnya setakat Disember 2019 adalah pada 141 peratus manakala nisbah keseluruhan modal pada 18.23 peratus dan nisbah modal ekuiti Tahap 1 adalah 14.58 peratus.

Malah, kesemua aspek tersebut jelas melangkaui keperluan pengawalseliaan semasa iaitu masing-masing 100 peratus, 10.5 peratus dan 7.0 peratus.

“Berdasarkan paras tersebut, adalah jelas nisbah modal dan mudah tunai Kumpulan Maybank telah dikekalkan pada paras kuartil lebih tinggi berbanding bank-bank lain di Asia Tenggara,” katanya.

Ketika menegaskan perkara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Abdul Farid Alias berkata Lembaga Pengarah dan Pengurusan Maybank juga sentiasa memastikan Kumpulan Maybank kekal di hadapan dari segi ketetapan modal dan kecairan yang disyaratkan oleh pengawal selia bank, khususnya dalam tiga pasaran utama di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

“Sehubungan itu, sejak lima tahun lepas, semua paras tersebut secara konsisten adalah tinggi berbanding ketetapan penuh walaupun di bawah pelaksanaan berperingkat oleh pihak pengawal selia.”

Beliau berkata Maybank juga telah mengambil maklum terhadap semakan turun Fitch Ratings terhadap penarafan kemungkiran penerbit (IDR) jangka panjang bank itu pada satu kedudukan walaupun mengekalkan unjurannya pada stabil.

Tindakan agensi penarafan itu juga hanya berdasarkan persekitaran operasi yang lemah dan sama sekali tidak memaparkan asas-asas Maybank yang kukuh. Fitch juga telah mengekalkan (kedudukan) IDR jangka pendek Maybank.

“Saya kecewa sebaik melihat laporan itu namun pada masa sama menyedari bahawa Fitch baru-baru ini turut bertindak menyemak turun penarafan kredit banyak bank-bank, khususnya di rantau Asia Pasifik, Timur Tengah dan Selatan Afrika.

“Walaupun ini adalah hak mutlak agensi-agensi penarafan, kami berpendapat bahawa semua usaha, termasuk oleh sektor perbankan perlu ditumpukan terutamanya kepada membantu orang ramai mengharungi krisis dan pada akhirnya membantu memulihkan kelembapan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik ini memandangkan puncanya adalah di luar jangka dan memberi kesan besar.

“Semakan turun penarafan ini berkemungkinan besar meningkatkan kos pembiayaan bank ini, tetapi kami akan tetap berusaha sedaya upaya untuk menyerap (kos itu) tanpa melepaskan sebahagian besarnya untuk ditanggung oleh para pelanggan kami,” katanya.

Farid berkata pada masa sama, kumpulan itu menyakini laporan Fitch tersebut yang menegaskan bahawa Maybank memiliki modal yang lebih baik berbanding bank-bank setara serta pada kedudukan kukuh untuk mengharungi sebarang potensi tekanan terhadap pendapatan dan kualiti aset susulan persekitaran operasi yang lebih lemah.

Malah, Fitch turut menyatakan bahawa kecairan bank itu disokong oleh francais deposit domestik dan tindakan pengurusan mudah tunai yang amat akomodatif oleh pihak bank pusat.

Maybank adalah satu daripada hanya tiga bank di Malaysia yang dinilai secara umum oleh Fitch Ratings. Dua bank lain adalah Hong Leong Bank Bhd (HLBB) yang turut disemak turun kepada ‘BBB+’ daripada ‘A-‘ manakala Export-Import Bank of Malaysia Bhd (MEXIM) kepada negatif daripada stabil.

Fitch, bagaimana pun, mengekalkan penarafan IDR jangka panjang MEXIM pada ‘A-‘ yang menyamai penarafan negara Malaysia, sekali gus memaparkan jangkaan kebarangkalian tinggi membabitkan sokongan negara terhadap bank itu, jika perlu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)