MB nafi wujud tidak rasa gembira kalangan ahli DAP yang berkempen

MB nafi wujud tidak rasa gembira kalangan ahli DAP yang berkempen

PONTIAN,. Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal hari ini menafikan wujudnya “rasa tidak gembira” di peringkat akar umbi DAP untuk turun berkempen bagi calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini.

Sebaliknya, beliau yang merupakan Pengarah Jentera PH bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai menyifatkan hubungan sesama parti komponen, bukan sahaja antara Bersatu dengan DAP, malah dengan PKR dan Amanah, adalah baik.

“Setakat ini, sehingga malam tadi saya masih berkempen dengan pasukan daripada DAP. Hubungan kami (Bersatu), bukan sahaja dengan DAP sahaja tetapi dengan parti-parti lain (di bawah PH) mesra, baik dan kami boleh bekerjasama.

“Saya rasa, Insya-Allah yang penting sekarang kita kena fokus untuk menang, Tanjung Piai, kita punya,” kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.

Dr Sahruddin berkata hingga ke saat ini hubungan sesama jentera PH baik dan mesra, serta kempen PH di Tanjung Piai mendapat sokongan daripada kepimpinan tertinggi DAP iaitu Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang turut sama turun padang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Guan Eng hari ini yang mengakui ada dalam kalangan ahli parti itu berasa sedikit “tidak gembira” untuk berkempen tetapi yakin perkara tersebut dapat ditangani secara dalaman dengan baik.

Terdahulu, Dr Sahruddin menghadiri “Sembang Santai” bersama komuniti nelayan di Kukup, yang turut dihadiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Sementara itu, mengenai dakwaan pemberian kad SIM prabayar secara percuma oleh PH pada sesi ceramah umum di Tenggayun, di sini, baru-baru ini, katanya beliau tiada maklumat tentang perkara itu.

“Tentang kad SIM saya tidak maklum, saya tiada maklumat, jadi saya tidak mahu komen apa-apa,” kata Dr Sahruddin.

Semalam, MCA mempertikaikan tindakan PH yang memberikan kad SIM prabayar secara percuma kepada orang ramai dan mahu pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan berhubung tindakan PH itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)