
MBS diarah periksa projek pembinaan dipercayai berhampiran paip gas di Sendayan
SEREMBAN,. Majlis Bandaraya Seremban (MBS) diarahkan memeriksa dakwaan yang tular di media sosial mengenai terdapat kerja-kerja pembinaan projek perumahan baharu berdekatan dengan saluran paip gas di Sendayan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J. Arul Kumar berkata pihaknya menerima maklumat itu pada petang semalam selepas video berdurasi 28 saat mengenai projek berkenaan tular di Facebook dan TikTok.
Arul turut meminta MBS memeriksa pembinaan itu memasuki rizab jalan ataupun tidak.
“Kita sedia maklum mengenai perkara itu dan saya sudah beritahu Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan pemaju untuk semak balik tapak projek berkenaan … di situ tertera papan tanda saluran paip Gas Malaysia, jadi ia paip sambungan ke kawasan perindustrian.
“Saya sudah maklumkan kepada MBS dan pemaju untuk semak semula, ada tak kerja (pembinaan) yang dibuat itu masuk dalam tanah rizab, kalau tidak masuk, tiada isu dan kerja itu masih di bawah tanah persendirian milik pemaju,” katanya.
Semalam, tular di media sosial berkenaan projek perumahan baharu di Sendayan yang dipercayai dilakukan berdekatan saluran paip gas sehingga membimbangkan penduduk setempat.
— BERNAMA