MBSB lulus lebih 76,000 permohonan bantuan kewangan

MBSB lulus lebih 76,000 permohonan bantuan kewangan

KUALA LUMPUR,. MBSB Bank Bhd (MBSB) telah meluluskan sebanyak 76,139 permohonan bantuan kewangan termasuk penstrukturan dan penjadualan semula kemudahan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara dengan baki kasar sebanyak RM9.13 bilion setakat 31 Mei.

Anak syarikat Malaysia Building Society Bhd itu berkata ia bersedia membantu individu dan pelanggan yang menjalankan perniagaan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) baru-baru ini berkemungkinan akan menimbulkan masalah kewangan kepada mereka yang terkesan.

“Kami mengambil maklum bahawa pelaksanaan MCO 3.0 telah menjejaskan sebilangan pelanggan kami.

“Kami berdedikasi untuk menyokong mereka dalam tempoh yang mencabar ini dan kami akan memastikan bantuan itu dapat diperoleh dengan mudah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

MBSB berkata ia sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa kumpulan yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan harus diberi pilihan untuk mendapatkan moratorium tiga bulan atau pengurangan jumlah ansuran bulanan.

Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) layak menerima moratorium tiga bulan atau 50 peratus pengurangan pembayaran bulanan selama enam bulan manakala perusahaan mikro dan PKS yang tidak dapat beroperasi boleh memohon bantuan yang sama, katanya.

Pelanggan yang mengalami penurunan dalam pendapatan bulanan mereka juga dapat memilih pengurangan pembayaran bulanan sesuai dengan pengurangan pendapatan mereka selama enam bulan, kata MBSB.

“MBSB Bank juga memberikan bantuan kepada pelanggannya daripada golongan M40 dan T20 jika mereka telah menganggur pada tahun 2020 atau pada tahun 2021.

“Mereka juga dapat memohon moratorium tiga bulan atau 50 peratus pengurangan pembayaran bulanan selama enam bulan,” katanya.

Bank tersebut menasihati pelanggan untuk menghubungi pusat khidmat pelanggannya di 03-2096 3000 manakala perusahaan mikro dan PKS digalakkan untuk menghubungi pengurus hubungannya untuk mendapatkan konsultasi menyeluruh mengenai kedudukan kewangan mereka.

Sebagai alternatif, mereka boleh melayari laman web MBSB Bank (www.mbsbbank.com).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )