MCMC turun padang tangani masalah Internet

KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus mempertingkatkan usaha menangani masalah capaian Internet yang dihadapi penduduk di seluruh negara dengan melaksanakan aktiviti turun padang bagi meninjau situasi sebenar di lokasi aduan.

Antaranya, melibatkan laporan media mengenai kisah empat beradik di Kampung Rambai, Padang Siding, Arau, Perlis yang dilaporkan tidak dapat mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kerana capaian Internet perlahan dan terpaksa berkongsi peranti.

“Susulan itu, pihak MCMC telah mengambil inisiatif membawa keluarga berkenaan ke Pusat Internet Komuniti (PIK) Felda Chuping yang terletak lima kilometer dari tempat mereka dengan PIK disediakan dengan peranti dan perkhidmatan-perkhidmatan kepada komuniti,” menurut suruhanjaya itu dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, MCMC turut mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan di kawasan terbabit iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile untuk menjalankan pengoptimuman rangkaian dari menara berdekatan bagi meningkatkan kualiti capaian Internet dan proses itu dijangka siap hujung bulan ini.

Mengenai laporan media berkenaan kisah lebih 70 pelajar anak Orang Asli Kampung Lubuk Legong, Mukim Siong di Baling, Kedah yang menghadapi kesukaran mengikuti PdPR, MCMC memaklumkan hasil siasatan mendapati masalah berbangkit di kawasan itu bukan mengenai isu liputan mudah alih, sebaliknya isu ketersediaan peranti untuk tujuan PdPR.

Ia terbukti dengan hasil keputusan Ujian Kelajuan Muat Turun oleh pegawai MCMC yang menunjukkan kualiti liputan di kampung itu amat memuaskan serta diakui oleh pengadu.

Sementara itu, MCMC berkata sebuah menara komunikasi berdekatan Sekolah Kebangsaan Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan akan dinaik taraf kepada liputan 4G di bawah pelan JENDELA dan dijangka siap hujung tahun ini serta dapat membantu lebih 300 pelajar sekolah itu.

Mengenai laporan masalah capaian Internet di Kampung Kuala Sat, mukim Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang, MCMC memberitahu tinjauan ke kawasan itu telah diadakan pada 1 Februari lepas bersama syarikat penyedia perkhidmatan.

Menurut MCMC, menara komunikasi berdekatan kampung itu dan beberapa kampung dalam mukim Ulu Tembeling akan dinaik taraf kepada liputan 4G di bawah pelan JENDELA yang dijangka bermula pada suku kedua 2021.

Turut diambil tindakan oleh MCMC adalah masalah liputan Internet lemah di Kampung Selindang, Padang Tengku, Lipis dan sebuah menara komunikasi baharu akan dibina di bawah pelan JENDELA yang dijangka bemula suku ketiga tahun ini.

Menara sedia ada berhampiran juga akan dinaik taraf kepada liputan 4G untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar di Kampung Selindang dan beberapa kampung berhampiran yang dijangka bermula pada suku kedua 2021.

Mengenai permohonan liputan pencawang menara telefon di Kampung Mentara Baru, Merapoh, Lipis, MCMC telah mengadakan lawatan tapak dan mendapati menara sedia ada tidak mempunyai liputan 4G.

“Justeru, sebagai penyelesaian jangka panjang, pihak Digi telah memaklumkan bahawa kerja-kerja menaik taraf menara kepada liputan 4G akan siap menjelang pertengahan Februari ini dan perkembangan kerja menaik taraf menara sedang dipantau oleh MCMC serta pengadu atau wakil penduduk akan dimaklumkan mengenainya setelah kerja naik taraf selesai,” menurut kenyataan itu.

Turut dilaksanakan ialah rangkaian gentian optik meliputi beberapa menara sedia ada termasuk di Kampung Mentara Baru yang telah siap pada minggu pertama Februari.

MCMC menyatakan pihaknya akan terus memantau perkembangan dan jika perlu mengambil tindakan susulan agar masalah capaian Internet di seluruh negara ditangani dengan tuntas sekali gus membolehkan penduduk setempat melaksanakan aktiviti mereka dengan lancar.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )