MDEC libatkan pemimpin industri untuk perkukuhkan DICE
KUALA LUMPUR,. Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) telah mengumumkan bahawa Dasar Ekosistem Kandungan Digital (DICE) yang bakal diperkenalkan sedang menjalani proses keperluan serta pensindiketan yang diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Mesyuarat peringkat tertinggi pada minggu lepas, yang menyaksikan penyertaan pemimpin kerajaan dan industri adalah sebahagian daripada proses membangunkan Dasar DICE 2020-2030 yang sedang dilaksanakan MDEC.
“Matlamat utama penglibatan ini bertujuan meujudkan kefahaman yang lebih mendalam terhadap Dasar DICE dan mengembangkan lagi jangkauan kerajaan ke atas industri kreatif,” kata MDEC dalam satu kenyataan hari ini.
Dasar DICE yang diumumkan pada Ogos 2019, merupakan kertas komprehensif yang disusun oleh MDEC dibawah arahan KKMM dengan tujuan untuk memperkukuhkan industri kandungan digital tempatan dan seterusnya, meletakkan negara sebagai peneraju dalam penciptaan serta penerbitan kandungan digital.
Sesi mesyuarat dalam minggu lepas telah melibatkan industri digital daripada syarikat studio animasi, pengeluar permainan video digital, platform dan ekosistem.
Menteri KKMM Gobind Singh Deo, yang turut hadir berkata Malaysia diiktiraf sebagai tonggak utama dalam industri kandungan digital dan negara ini berhasrat untuk terus menjadi peneraju melalui pengukuhan asas yang sedia ada.
“Untuk maju ke hadapan, kita memerlukan strategi yang jelas di kalangan semua pihak berkepentingan kerajaan. Ini merangkumi penjajaran antara rakan industri dan peserta ekosistem supaya pasaran dan pelabur dapat mengikuti hala tuju yang lebih jelas,” katanya.
Menurut Gobind, industri kandungan digital telah menjadi sektor eksport yang paling pesat membangun untuk Malaysia, ia menjana RM1.3 bilion dalam eksport pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 28 peratus sejak 2014.
— BERNAMA