MED sasar usahawan IKS sumbang 45 peratus kepada KDNK negara

MED sasar usahawan IKS sumbang 45 peratus kepada KDNK negara

ALOR GAJAH,. Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menyasarkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) akan menyumbang kira-kira 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menerusi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) dalam tempoh lima tahun pelaksanaannya bermula tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata pada masa kini, sumbangan IKS ialah kira-kira 38.3 peratus dan jumlah itu mampu ditingkatkan sekiranya usahawan terlibat menjadi pemangkin kepada kelestarian pembangunan ekonomi negara.

“Kita menyasarkan sumbangan KDNK negara dalam tempoh lima tahun di bawah DKN 2030 dapat ditingkatkan kepada kira-kira enam peratus lagi kepada 45 peratus dan sasaran sehingga 2030 ialah sebanyak 50 peratus.

“Di peringkat MED, kita menyediakan pelbagai bantuan, bimbingan dan latihan kepada usahawan IKS serta membantu mereka memahami DKN 2030 agar matlamat itu dapat dicapai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Gegar Usahawan Koperasi Negeri Melaka 2019, di sini hari ini.

Turut hadir Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pembangunn Usahawan, Muhammad Razman Abu Samah.

Sebanyak 46 gerai jualan dan pameran terlibat dalam karnival di bawah program pembangunan usahawan koperasi oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka, dengan 38 gerai membabitkan usahawan dan koperasi manakala lapan lagi dari agensi di bawah kementerian itu.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata pencapaian 45 peratus daripada KDNK itu bukan sahaja memberi kesan positif kepada ekonomi negara, malah kepada pendapatan usahawan terlibat.

DKN 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menggariskan tujuh elemen teras, termasuk menjana sektor pertumbuhan baharu, menambah baik pasaran buruh, dan meningkatkan kesejahteraan sosial dan modal sosial.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan khususnya kementerian itu bersedia menjadi pemudah cara membantu usahawan atau syarikat pengeluar produk halal Malaysia menembusi pasaran antarabangsa terutama Jepun menerusi temasya Olimpik Tokyo 2020.

“Kita telah mendapat persetujuan daripada kerajaan Jepun berkaitan pasaran halal, yang ingin ditembusi memandangkan temasya itu menyediakan pasaran yang agak luas dengan 40 juta pengunjung dijangka hadir,” katanya.

Beliau berkata setakat ini lebih 20 usahawan telah berdaftar untuk menyertai misi itu dan empat daripadanya dilantik sebagai ‘anchor’ bagi memasarkan pelbagai produk halal dari negara ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )