MEDAC anjur program Malaysia Street 2020 di Tokyo mulai 8 julai

MEDAC anjur program Malaysia Street 2020 di Tokyo mulai 8 julai

PUTRAJAYA,. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan menganjurkan program Malaysia Street 2020 sempena Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 di Ariake Garden City, Tokyo mulai 8 Julai hingga 6 Sept 2020.

MEDAC dalam kenyataan hari ini berkata program dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi serta Kedutaan Besar Malaysia di Jepun itu yang bertemakan “Malaysia in Japan for Tokyo 2020” menyediakan platform untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan membina dan mengukuhkan jenama Halal Malaysia melalui penerokaan pasaran, pemasaran produk dan jaringan perniagaan dalam pasaran Jepun.

“Dalam usaha mempromosi dan meningkatkan keterlihatan program Malaysia Street 2020, MEDAC telah menyusun dan merangka pelbagai siri program inisiatif halal di Jepun. Program Taste of Malaysia (ToM) 2020 merupakan program yang pertama dalam inisiatif tersebut.

“Program ini telah dilaksanakan dengan kerjasama erat serta penglibatan Kedutaan Besar Malaysia di Jepun dan dirasmikan oleh Datuk Kennedy Jawan, Duta Besar Malaysia (ke Jepun) pada 31 Jan 2020 di Vision Center Hamamatsucho, Tokyo,” menurut kenyataan itu.

ToM 2020 bertujuan mempromosi dan memperkenalkan produk makanan Halal Malaysia seperti makanan sedia untuk dimakan (RTE), pes, dan bahan ramuan. ToM 2020 telah disertai oleh 13 syarikat tempatan dan lima syarikat pengimport produk Halal Malaysia di Jepun.

Selari dengan Teras Strategik 6: Mengantarabangsakan Perusahaaan Berpertumbuhan Tinggi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030), semua usahawan yang mempunyai pensijilan halal dijemput menyertai program Malaysia Street 2020 dan mendaftar di portal MEDHalal, http://www.med.gov.my/MEDHalal/login.php.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)