Medan terbaik sebelum jumpa Korea Selatan – Sri Lanka

Medan terbaik sebelum jumpa Korea Selatan – Sri Lanka

KUALA LUMPUR,. Perlawanan persahabatan menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, akan menjadi platform terbaik bagi ketua jurulatih Sri Lanka, Nizam Packeer Ali untuk menilai prestasi anak buahnya menjelang pertemuan dengan Korea Selatan, minggu depan.

Sri Lanka akan berdepan dengan pasukan nombor 37 dunia itu pada aksi ketiga Kumpulan H pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Hwaseong di Gyeonggi, Korea Selatan, Khamis depan.

“Berdepan dengan Malaysia merupakan pengalaman baik untuk kami khususnya pemain muda sebelum berdepan dengan Korea Selatan serta juga menguji kemampuan kami dengan pasukan tuan rumah di sini,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Nizam, yang mula membimbing skuad itu sejak Februari tahun lalu, turut memuji anak buahnya yang menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa minggu lalu selepas mengalami kekalahan tipis 1-0 kepada Korea Utara dan 2-0 kepada Turkmenistan pada pusingan kelayakan itu, bulan lalu.

Sementara itu, ketua pasukan, Kavindu Ishan, berkata pertemuan dengan Malaysia bakal menjadi medan terbaik untuk pemain muda membuktikan tempat mereka dalam pasukan sebelum mendepani tugas getir menentang Korea Selatan.

“Kami sudah cukup bersedia esok and berharap semua pemain dapat menampilkan aksi terbaik masing-masing,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)