Media massa berperanan jelaskan isu Palestin dengan lebih jelas

KUALA LUMPUR,. Pengaruh media massa memainkan peranan penting dalam memastikan perjuangan terhadap kebebasan Palestin diteruskan, dengan menyampaikan kepada dunia isu perjuangan itu sebagai hak kemanusiaan yang perlu dibela dengan jelas dan lebih dekat.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata platform itu termasuklah laman sosial seperti Facebook digunakan untuk memberitahu kepada dunia, tindakan rejim Israel kepada penduduk Palestin adalah salah dan menyalahi nilai-nilai kemanusian.

“Pada masa sekarang, ada lebih kurang dua bilion pengguna Facebook di seluruh dunia, yang menggunakan saluran media sosial sebagai sumber komunikasi. Jadi apa salahnya kita bekerjasama bukan sahaja di negara kita tetapi negara luar dalam menyokong perjuangan Palestin, tunjukkan gambar kezaliman zionis terhadap Palestin, ia akan beri impak kemanusiaan terhadap penduduk dunia.

“Kita ada Islamic TV Satellite oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), jadi kita harus guna medium itu,” katanya dalam Bicara Al-Quds: Kebangkitan Umat Membebaskan Al-Quds Dalam Konteks Sejarah dan Tanggungjawab Umat yang disiarkan menerusi Facebook Sekretariat Palestin Malaysia, di sini, malam ini.

Beliau bagaimanapun mengakui konflik Palestin-Israel tidak dapat ditamatkan dengan media sosial namun melaluinya masyarakat dunia akan tahu mengenai perkembangan isu itu dan seterusnya mengelakkan mereka terbelenggu dengan Islamofobia.

Dalam pada itu, beliau berkata perlu ada penapisan maklumat dalam menyampaikan mesej perjuangan Palestin.

“ Kita tidak boleh membiarkan mereka (Barat) menguasai teknologi maklumat, ini kerana teknologi sememangnya memberi kesan kepada minda dan fikiran khususnya terhadap golongan muda kerana mereka kurang memahami konflik Israel-Palestin ini,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata kesedaran kepenggunaan masyarakat supaya tidak menyokong mana-mana produk keluaran Israel juga menunjukkan sokongan kepada perjuangan Palestin.

“Jika kita beli barangan mereka, ia akan menyumbang kepada ekonomi Israel, dan melalui itu mereka membina perumahan wakil rakyat mereka, mereka runtuhkan rumah-rumah orang Palestin, sehingga tanah warga Palestin digunakan untuk membina rumah wakil rakyat Israel,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )