Media perlu situasi membolehkan ia berfungsi secara efektif-Suhakam

Media perlu situasi membolehkan ia berfungsi secara efektif-Suhakam

KUALA LUMPUR, 3 Mei —  Media memerlukan keadaan yang membolehkan ia berfungsi secara efektif demi menjaga kepentingan awam, selain daripada kebebasan untuk melaporkan, demikian pandangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Badan hak asasi itu dalam kenyataan hari ini, berpendapat pengamal media, selaku individu pertama di lapangan dan adakalanya mempertaruhkan keselamatan, memerlukan jaminan perlindungan bagi membolehkan mereka bebas menjalankan peranan mereka daripada rasa takut akan ugutan, ancaman dan tindak balas mana-mana pihak.

“Kerajaan perlu menggerakkan usaha menyokong penubuhan Majlis Media yang menyasarkan kepada penambahbaikan dan pencapaian standard kewartawanan yang lebih tinggi serta meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap media massa.

“Suhakam menekankan bahawa akses yang saksama kepada maklumat, jaminan kebebasan media dan kewartawanan serta tertubuhnya Majlis Media yang bebas akan menjadi petunjuk komitmen Malaysia dalam memenuhi Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat,” menurutnya.

Menurut Suhakam, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menangani wabak COVID-19 dilaksanakan mulai 18 Mac lepas, akhbar dan media memainkan peranan penting dalam melaporkan maklumat yang tepat dan terkini dan dalam masa yang sama memerangi berita palsu dan tidak benar yang boleh mencetus kebimbangan dan kerisauan dalam krisis itu.

Hari Kebebasan Akhbar Sedunia disambut pada 3 Mei dengan tema pada tahun ini “Kewartawanan Tanpa Rasa Takut dan Berpihak”.

 

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)