Mei Xing tempah slot berganda pada pusingan kedua

Mei Xing tempah slot berganda pada pusingan kedua

KUALA LUMPUR,. Teoh Mei Xing antara pemain paling gembira di Axiata Arena selepas berjaya menempah slot berganda pada pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2023.

Atlet berusia 25 tahun itu yang mengesahkan tempat pada acara beregu campuran dengan Hoo Pang Ron semalam, membimbing Go Pei Kee, 20, untuk melepasi halangan pusingan pertama beregu wanita hari ini, walaupun baru sahaja mendapat gandingan baharu untuk kedua-dua disiplin kira-kira dua bulan lepas.

Walaupun kekurangan persediaan kerana mendapat jemputan untuk beraksi pada saat akhir setelah beregu nombor dua dunia Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun menarik diri, Mei Xing-Pei Kee sentiasa berjaga-jaga dan bersedia menumbangkan pemain profesional negara Vivian Hoo-Lim Chiew Sien 21-13, 21-13 untuk menjadi wakil tunggal Malaysia dalam beregu wanita.

Gandingan yang berada di ranking 193 itu akan menentang beregu nombor empat dunia Zhang Shu Xian-Zheng Yu dari China, yang menewaskan pasangan Jepun Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 21-15, 19-21, 21-16.

“Sebelum perlawanan saya beritahu Pei Kee mengenai keadaan gelanggang, dan bagaimana untuk mengawal perlawanan berdepan angin kerana tidak mahu dia keliru akibat tidak buat ujian gelanggang.

“Lawan seterusnya kuat, saya harap dapat menyukarkan mereka untuk menang perlawanan dan melihat standard kami dekat mana. Saya tidak letih bermain dua acara, tetapi menikmati setiap perlawanan,” kata Mei Xing yang mara ke suku akhir beregu wanita bersama Anna Cheong Ching Yik tahun lepas.

Anna tidak dapat beraksi kerana kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) sejak Oktober tahun lepas.

Pada aksi beregu campuran semalam, Pang Ron-Mei Xing mengejutkan bekas pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia Kyohei Yamashita-Naru Shinoya 21-11, 15-21, 21-19 dan akan menentang pilihan kelapan kejohanan Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis.

Sementara itu, gandingan nombor 15 dunia Vivian-Chiew Sien kekal positif walaupun tidak memulakan musim dengan langkah kanan untuk kekal berada dalam kelompok 20 terbaik dunia bagi memastikan kelayakan ke Olimpik Paris 2024.

“Kami mencapai sasaran tahun lepas untuk menembusi 20 terbaik, jadi kami perlu mengekalkannya sehingga tempoh kelayakan bermula pada Mei, jadi kami dapat bermain dalam acara peringkat lebih tinggi untuk mengutip lebih banyak mata. Kami menjangkakan prestasi yang lebih baik tahun ini, tetapi bukan permulaan yang baik, kami perlu meneruskan dan memperbaiki kelemahan,” kata Vivian.

Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah pula dikejutkan oleh pasangan adik-beradik dari Bulgaria Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva pada pusingan pembukaan semalam.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)