Melaka benar penjaja, peniaga kecil berniaga di kawasan rumah

Melaka benar penjaja, peniaga kecil berniaga di kawasan rumah

MELAKA,. Kerajaan Negeri Melaka memberi kebenaran kepada penjaja dan peniaga kecil untuk menjalankan perniagaan di kawasan rumah mereka dalam usaha membantu golongan berpendapatan rendah itu yang terjejas akibat COVID-19 khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata kelonggaran itu masih tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.

“Kerajaan Negeri Melaka berharap kelonggaran kebenaran yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan peniaga dan penjaja kecil di Melaka memperoleh pendapatan untuk kegunaan pada bulan Ramadan dan persiapan menyambut Aidilfitri.

“Namun perlu ingat, kelonggaran kebenaran yang diberikan ini boleh ditarik balik serta-merta jika penjaja dan peniaga tidak mematuhi atau melanggar syarat ketat dan SOP yang ditetapkan,” menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata semua sektor dan subsektor ekonomi, khususnya makanan, yang dibenarkan dibuka semula dalam tempoh PKPB akan dibenarkan beroperasi sehingga 9 malam.

Katanya ia meliputi sektor makanan (perniagaan berpremis) melibatkan restoran, medan selera/medan penjaja, gerai makan tepi jalan berbumbung/kiosk dan sektor makanan (perniagaan/penjajaan tanpa premis) seperti kenderaan saji, penjaja beredar dan penjaja tepi jalan sementara.

Sulaiman bagaimanapun berkata hanya perkhidmatan bawa pulang dan penghantaran dibenarkan manakala kebenaran untuk makan dalam premis adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata pengoperasian sektor itu juga tertakluk kepada syarat lesen perniagaan yang ditetapkan PBT di kawasan masing-masing dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)