Melaka ketengahkan keunikan budaya etnik Baba Nyonya, Chetti sempena TMM2024

Melaka ketengahkan keunikan budaya etnik Baba Nyonya, Chetti sempena TMM2024

MELAKA,. Kerajaan negeri akan mengetengahkan keunikan budaya dan warisan pelbagai etnik di Melaka seperti masyarakat Baba dan Nyonya serta Chetti dalam mempromosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata keistimewaan dan keunikan masyarakat Peranakan di Melaka itu akan ditampilkan menerusi beberapa persembahan khas pada program utama TMM2024, selain pameran di muzium budaya.

“Masyarakat Baba dan Nyonya ini misalnya, mereka mempunyai cara hidup dan tradisi gabungan pengaruh Melayu dan Cina yang unik termasuk dari segi makanan, pakaian selain fasih berbahasa Melayu.

“Saya percaya ini mampu menjadi satu daripada tarikan untuk pelancong dunia datang ke negeri ini dalam menjayakan TMM2024,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Konvensyen Antarabangsa Baba Nyonya kali ke-34 di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan dan Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia Datuk Ronald Gan.

Ab Rauf berkata kerajaan negeri komited dan akan terus memberi sokongan serta dokongan kepada semua pihak yang terlibat dalam memperkasa seni, warisan dan budaya di Melaka.

Beliau berkata penganjuran konvensyen yang dihadiri kira-kira 500 peserta membabitkan delegasi Baba Nyonya dari Malaysia, Australia, Singapura, Thailand dan Indonesia itu dilihat satu langkah tepat bagi memartabatkan warisan, budaya dan tradisi supaya tidak ditelan zaman.

“Diharapkan kerjasama yang sedia terjalin sesama diaspora ini, akan dikembangkan lagi dalam bidang lain seperto kebudayaan, kesenian, warisan dan perdagangan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)