Melaka pertingkat prasarana, logistik sempena tiga acara besar pelancongan

Melaka pertingkat prasarana, logistik sempena tiga acara besar pelancongan

PUTRAJAYA,. Melaka akan mempertingkatkan aspek prasarana dan logistik di negeri itu sempena penganjuran tiga acara besar pelancongan iaitu Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, Hari Pelancongan Dunia (WTD) 2025 dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata sebagai langkah awal, laluan kontra akan dilaksanakan di negeri tersebut sebagai inisiatif penyuraian trafik bermula 15 Dis ini dijangka dapat mengurangkan kira-kira 40 peratus kesesakan.

“Melaka tertakluk kepada undang-undang warisan dan tak boleh buat apa-apa pembangunan baharu, jadi kaedah terbaik ialah dengan ubah haluan jalan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat permulaan WTD dan WTC yang dipengerusikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, di sini semalam.

Ab Rauf berkata dengan penganjuran TMM, WTD dan WTC, ia dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan Melaka yang kebiasaannya menerima lebih lima juta pelancong setahun, sekali gus dapat menjana ekonomi setempat.

Sementara itu, Tiong berkata WTD dan WTC yang dijadual berlangsung pada 27 hingga 29 Sept 2025, akan menghimpunkan lebih 3,000 peserta antarabangsa dan tempatan dari 159 negara.

Beliau berkata Malaysia terpilih sebagai tuan rumah WTD 2025 dengan tema Tourism and Sustainable Transformation pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNWTO) ke-25 di Samarkand,
Uzbekistan pada Oktober lepas dan WTD 2025 telah turut dicadangkan diadakan bersempena dengan penganjuran WTC itu.

“Melaka dipilih sebagai tuan rumah kerana budaya dan sejarahnya serta komitmen negeri itu yang sentiasa menerajui pembangunan sektor pelancongan sehingga berjaya meletakkan Melaka sebagai destinasi terkenal di dunia,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)