Melaka rangka pakej pulihkan sektor pelancongan
ALOR GAJAH, 16 Mei — Melaka akan merangka pelbagai pakej bagi memulihkan sektor pelancongan negeri yang terjejas, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata, usaha itu penting kerana sektor pelancongan merupakan antara penyumbang utama ekonomi negeri, dan mempunyai jumlah pemain industri cukup besar daripada pelbagai subsektor.
“Berikutan situasi semasa COVID-19 yang melanda Melaka, Malaysia dan seluruh dunia, saya pasti banyak pihak dan sektor yang terkesan seperti industri pelancongan negeri termasuk hotel…lebih banyak hotel yang akan terkesan.
“Ia juga mengambil masa agak lama untuk pulih, tetapi kerajaan negeri dan pusat akan berusaha melakukan sesuatu agar impaknya dapat dikurangkan, dan industri pelancongan negeri dapat pulih seperti dahulu,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Kit Makanan di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan sebuah portal mengenai sebuah syarikat, yang mempunyai pelbagai rangkaian perniagaan termasuk hotel berpangkalan di Melaka, terjejas teruk akibat COVID-19 sehingga gaji pekerja terpaksa dipotong dan ada yang diberi cuti tanpa gaji sehingga enam bulan bermula 1 Mei lepas.
Mengenai program hari ini, sebanyak 800 pek makanan disediakan Pasar Raya Econsave Cash and Carry Sdn Bhd berupa ikan, sayuran dan makanan ringan bernilai keseluruhan RM24,000, untuk golongan yang terkesan dengan wabak COVID-19.
Mengulas lanjut Sulaiman berkata, pihaknya akan memantau segala isu atau masalah yang berlaku melibatkan pihak industri pelancongan di negeri itu, bagi mencari jalan penyelesaian terbaik termasuk dari aspek pemberhentian pekerja.
“Perniagaan perhotelan melibatkan pihak swasta dan mereka sebenarnya bertanggungjawab terhadap segala pengurusan dan pentadbiran di hotel mereka, namun kita akan cuba membantu mereka untuk mengharungi situasi semasa ini.
“Kebanyakan masalah yang berlaku termasuk tindakan memberhentikan pekerja, mungkin disebabkan tiada aliran tunai dalam tempoh jangkitan COVID-19 ini, sehingga menjejaskan operasi mereka,” katanya.
Sebelum ini, sebuah hotel bertaraf lima bintang di sini, yang telah beroperasi hampir 40 tahun menjadi hotel pertama di Melaka mengumumkan pemberhentian operasi pada 30 Jun ini, susulan kesan daripada wabak COVID-19.
— BERNAMA