Melaka teliti semula syarat sertai cabutan bertuah TMM2024

Melaka teliti semula syarat sertai cabutan bertuah TMM2024

MELAKA,. Kerajaan negeri sedang meneliti semula syarat penyertaan program cabutan bertuah yang dijalankan sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf.

Beliau berkata, syarat baharu itu bertujuan memastikan lebih ramai peserta bukan sahaja pelancong malah rakyat negeri itu turut berpeluang menyertai program cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama berupa kereta.

Menurutnya, setakat ini, lapan hadiah utama iaitu kereta ditaja pelbagai pihak menanti pemenang dan jumlah kenderaan itu dijangka bertambah dari semasa ke semasa sepanjang TMM2024 berlangsung.

“Kalau sebelum ini, antara syarat penyertaan cabutan bertuah berkenaan ialah pelancong perlu menginap sekarang-kurangnya dua malam di hotel empat bintang ke atas yang terlibat dalam program itu tetapi kita sedang meneliti semula syarat tersebut.

“Syarat penyertaan atau kaedah baharu itu akan saya umumkan dalam masa terdekat dan inisiatif ini dilakukan bagi memastikan lebih ramai pengunjung serta pelancong berpeluang menyertainya sekali gus merakyatkan sambutan TMM 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Hadiah Cabutan Bertuah TMM2024 yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Sementara itu, Ab Rauf berkata jumlah kemasukan kenderaan ke Melaka meningkat dua kali ganda kepada kira-kira 60,000 buah sehari pada setiap hujung minggu bermula Jumaat berbanding 30,000 kenderaan sehari, sejak awal Januari tahun ini.

Beliau berkata, peningkatan berkenaan menunjukkan pencapaian positif bagi TMM2024 dan sasaran 18.7 juta pelancong dari dalam dan luar Melaka mampu dicapai khususnya menerusi pelbagai inisiatif seperti cabutan bertuah yang dijalankan itu.

Terdahulu, pada program berkenaan kerajaan negeri menerima sumbangan kereta elektrik BYD Dolphin bernilai RM99,900 daripada Scientex Heights Sdn Bhd dan Proton X50 1.5T bernilai RM86,000 daripada Amerivexx International Sdn Bhd.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)